Pesawat rejim Zionis Israel mengebom bangunan tinggi yang menempatkan pejabat beberapa kumpulan media, termasuk Al Jazeera dan Associated Press (AP) di bandar Gaza, pada Sabtu.
Wakil agensi berita Turki, Anadolu, melaporkan beberapa peluru berpandu mengenai dan meruntuhkan Menara Al-Jala tengah hari tadi.
Menara 13 tingkat, salah satu daripada bangunan tertua di Gaza, mempunyai 60 unit, termasuk pejabat media asing, firma guaman dan pejabat doktor.
Syarikat perkhidmatan media – Mayadeen – stesen radio dan Pusat Media Doha adalah antara pejabat media yang musnah dalam serangan itu.
Rejim Israel telah memusnahkan sekurang-kurangnya empat bangunan tinggi sejak melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada Isnin lalu.
Sekurang-kurangnya 139 orang terkorban, termasuk 39 kanak-kanak dan 22 wanita terbunuh, manakala 950 lagi cedera dalam pengeboman rejim Zionis ke atas Semenanjung Gaza.
Serangan ke atas pejabat media berlaku sejurus pemilik bangunan berkenaan menerima panggilan telefon dari tentera Israel yang memberi amaran menara berkenaan menjadi sasaran.
Semua kakitangan media dan orang ramai yang berada di dalam bangunan itu keluar sebelum menara berkenaan dibom.
“Ini adalah perkembangan yang sangat menganggu. Dunia akan tahu lebih mengenai apa yang berlaku di Gaza susulan kejadian hari ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AP, Gary Pruitt. – Agensi