Pembekuan beberapa akaun milik Bersatu dianggap sebahagian agenda pihak tertentu untuk memberi persepsi buruk kepada Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Bersatu Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin berkata agenda itu bagi menutup kelemahan kerajaan PH-BN yang belum berjaya menangani isu-isu membelenggu rakyat, terutama kos sara hidup yang semakin membebankan.
Katanya, melalui strategi itu mereka berharap dapat memberi persepsi buruk kepada PN, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
“Mereka tahu sokongan dan gelombang kebangkitan rakyat masih bersama PN. Oleh itu pihak terbabit terpaksa mencipta agenda bagi memburukkan PN,” katanya hari ini.
Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu dipercayai ada kaitan dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.
Laporan media berhubung pembekuan akaun parti Bersatu itu kebetulan pula selepas kecoh isu lantikan anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di kementerian sepanjang minggu ini.
Media memetik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berhubung isu pembekuan akaun parti tersebut tetapi tidak memperincikan maklumat lanjut terhadap tindakan SPRM itu.
Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul berkata, orang ramai boleh melihat laporan audit Bersatu tahun 2020 yang diviralkan.
“Daripada pemerhatian saya terhadap laporan tersebut, tiada unsur rasuah dan duit berbilion ringgit seperti yang didakwa pihak terbabit.
“Semuanya jelas dilaporkan dan diterima baik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan. Saya mengalu-alukan siasatan SPRM bagi menangani persepsi liar sebelum ini,” katanya.
Beliau turut yakin SPRM sebuah badan yang berintegriti dan menjalankan tugas secara profesional.
Pada masa sama, bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkongsi penyata akaun yang sudah diaudit di sebalik pelbagai dakwaan mengaitkan kononnya parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.
“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion dari RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.
“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU. Ia telah difailkan di ROS dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya.