Seorang pekerja ladang asal Asia ditahan pihak berkuasa selepas tujuh daripada rakan sekerjanya dibunuh di hadapan kanak-kanak di dua kawasan di California, menyusul satu lagi keganasan senjata api yang menggegarkan Amerika Syarikat (AS).
Anggota kecemasan telah dipanggil ke ladang di San Mateo County, selatan San Francisco, di mana mereka menemui mangsa yang maut dan cedera.
Syerif Christina Corpus berkata, Chunli Zhao, 67, ditangkap sejurus selepas pembunuhan beramai-ramai dalam satu tindakan dramatik yang dirakam oleh kru TV tempatan di kawasan pertanian Half Moon Bay.
“Hari ini (Isnin, 23 Januari 2023) pada jam 2.22 petang timbalan sheriff dihantar… atas laporan tembakan melibatkan beberapa mangsa.
“Sebaik tiba, anggota polis mengesan empat mangsa yang maut dengan kesan tembakan. Mangsa kelima yang juga mengalami luka tembak dibawa ke Pusat Perubatan Stanford dengan kecederaan yang mengancam nyawa.
“Tidak lama selepas itu tiga lagi mangsa turut ditemui mati dengan kesan tembakan di tempat berasingan,” katanya.
Corpus berkata, Zhao kemudian memandu ke pejabat cawangan sheriff di Half Moon Bay di mana kru ABC7 sedang menunggu sidang akhbar.
Rakaman dramatik menunjukkan seorang lelaki Asia memakai baju merah dan seluar jeans biru ditarik ke tanah oleh pegawai bersenjata.
“Zhao telah ditahan tanpa sebarang insiden dan pistol separa automatik ditemui di dalam kenderaannya,” kata Corpus.
Motif tembakan belum diketahui, kata Corpus, tetapi ia berlaku di lokasi luar bandar dengan kehadiran keluarga.
“Ia tersebar. Ada orang yang tinggal di lokasi itu juga… pada sebelah petang ketika kanak-kanak tidak bersekolah dan untuk kanak-kanak menjadi saksi, ia sukar digambarkan,” katanya.
NBC Bay Area memetik seorang ahli majlis bandar Half Moon Bay berkata mangsa adalah pekerja ladang Cina.
Kedua-dua ladang berada di pinggir Half Moon Bay, dan video udara yang diambil oleh kru berita menunjukkan kawasan itu mempunyai deretan rumah hijau.
Keganasan terbaharu itu berlaku kurang 48 jam selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 11 orang di sebuah studio tarian berhampiran Los Angeles.
Gabenor California Gavin Newsom, yang telah berada di Taman Monterey di mana pembunuhan beramai-ramai itu berlaku, melayari Twitter beberapa saat selepas berita mengenai pembunuhan baharu itu tersebar.
“Di hospital bertemu mangsa tembakan ketika saya ditarik keluar untuk diberi taklimat tentang satu lagi tembakan. Kali ini di Half Moon Bay. Tragedi demi tragedi.”
Jurucakap akhbar White House, Karine Jean-Pierre berkata, Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden itu.
“Beliau telah meminta penguat kuasa undang-undang Persekutuan untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa tempatan. Apabila butiran lanjut tersedia, Presiden akan dikemas kini.” – AFP