Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik Covid-19 susulan peningkatan kes jangkitan baharu yang direkodkan seluruh dunia ketika ini.
Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata virus membunuh tersebut masih menular di seluruh dunia dan dibimbang jika berterusan ia akan memberi lebih tekanan kepada sistem dan perkhidmatan kesihatan.
Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan kepada WHO meningkat 30 peratus dalam tempoh dua minggu lalu, didorong subvarian strain Omicron BA.4 dan BA.5 dan tindakan menarik langkah kawalan.
“Gelombang baharu virus ini menunjukkan sekali lagi yang pandemik Covid-19 masih belum ada tanda untuk berakhir. Apabila virus menghimpit kita, kita mesti menolaknya kembali,” katanya pada sidang media, menurut laporan AFP.
Apabila penularan meningkat, Tedros berkata, kerajaan juga mesti menggunakan langkah yang sudah diuji seperti pemakaian pelitup muka dan menambah baik pengudaraan.
“Subvarian Omicron seperti BA.4 dan BA.5 terus memacu gelombang kes, kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh dunia.
“Apabila tindakan pemantauan berkurangan dengan ketara termasuk ujian saringan dan penjujukan, menjadikannya semakin sukar untuk menilai kesan varian pada jangkitan, ciri penyakit dan keberkesanan langkah pencegahan,” kata Tedros lagi.
Selain itu, beliau berkata, ujian, rawatan dan suntikan vaksin tidak dilaksanakan dengan berkesan.
Isnin lalu, WHO dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu menekankan mengenai keperluan untuk mengurangkan penularan kerana implikasi pandemik disebabkan virus pernafasan baharu yang masih belum difahami sepenuhnya.
Kes Covid-19 meningkat dengan mendadak di seluruh Eropah sejak akhir Mei lalu.
Justeru, agensi kesihatan dan perubatan Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan suntikan penggalak kedua untuk individu berumur lebih 60 tahun.