Polis menangkap seorang suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian tembakan pada Isnin (4 Julai) yang mengorbankan enam orang dan mencederakan lebih 36 yang lain ketika perarakan Hari Kemerdekaan di pinggiran Highland Park, Chicago.
Kejadian berlaku apabila suspek, Robert E Crimo III, 22, penduduk tempatan menggunakan raifal berkuasa tinggi melepaskan tembakan dari atas bumbung ke arah orang ramai yang menyertai perarakan itu.
Menurut Chicago ABC News, polis mengepung kereta dinaiki Crimo sebelum dia menyerah diri.
Polis tidak mengeluarkan motif tembakan.
Lebih 36 orang cedera, kebanyakannya akibat tembakan, kata Jim Anthony, jurucakap NorthShore University HealthSystem.
26 mangsa yang dibawa ke hospital Highland Park berumur dalam lingkungan 8 hingga 85 tahun, kata Brigham Temple, seorang doktor bilik kecemasan.
Akhbar New York Times menamakan salah seorang yang maut sebagai Nicolas Toledo, 76 tahun, yang berkerusi roda dan pada awalnya tidak mahu menghadiri perarakan itu.
Kejadian itu menyusul keganasan senjata api yang kerap berlaku Amerika Syarikat (AS), selepas pembunuhan beramai-ramai pada 24 Mei yang menyebabkan 19 murid dan dua guru di sebuah sekolah rendah di Uvalde, Texas, terbunuh.
Ia berlaku setelah serangan 14 Mei yang membunuh 10 orang di sebuah kedai runcit di Buffalo, New York.
“Amat mendukacitakan bahawa perayaan Amerika telah dipecahkan oleh wabak kami yang unik,” kata Gabenor Illinois J.B. Pritzker pada sidang akhbar.
Tembakan berlaku di laluan perarakan di mana orang ramai berkumpul pada untuk sambutan tahunan itu. Berpuluh-puluh peluru yang dilepaskan menyebabkan ratusan peserta perarakan – beberapa kelihatan berlumuran darah – melarikan diri.
Ketua Polis Highland Park Lou Jogmen berkata, seorang pegawai polis menahan Crimo kira-kira lima batu di utara lokasi tembakan, beberapa jam selepas polis mengeluarkan gambar lelaki itu dan imej Honda Fit perak miliknya, dan memberi amaran kepada orang ramai bahawa dia berkemungkinan bersenjata dan berbahaya.
Jurucakap Pasukan Petugas Jenayah Utama Lake County Christopher Covelli berkata “beberapa mangsa yang maut” meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang di hospital. Polis belum mengeluarkan butiran mengenai mangsa atau cedera.
Koroner Lake County Jennifer Banek berkata lima yang terbunuh dalam perarakan itu adalah orang dewasa, tetapi beliau tidak mempunyai maklumat mengenai mangsa keenam yang dibawa ke hospital dan meninggal dunia. – Agensi