Sebuah kapal pemusnah tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang karam ketika Perang Dunia Kedua (WWII) ditemui hampir 7,000 meter di bawah paras laut di Filipina, menjadikannya kapal karam paling dalam di dunia pernah ditemui, kata pasukan pengkaji Amerika.
USS Samuel B Roberts tumbang ketika pertempuran di pulau tengah Samar pada 25 Oktober 1944, ketika tentera AS berjuang untuk membebaskan Filipina daripada pendudukan Jepun.
Sebuah kapal selam bersama kru merakam gambar dan meninjau badan kapal “Sammy B” yang rosak semasa siri selamaan lapan hari bulan ini, kata syarikat teknologi dasar laut yang berpangkalan di Texas, Caladan Oceanic.
Imej juga menunjukkan pelancar torpedo tiga tiub kapal dan pelekap senapang.
“Berada pada 6,895 meter, ia kini merupakan kapal karam paling dalam pernah ditemui dan ditinjau,” tweet pengasas Caladan Oceanic Victor Vescovo, yang memandu kapal selam itu.
“Kapal kecil ini adalah yang terbaik melawan tentera Jepun hingga ke akhirnya,” katanya.
Menurut rekod Tentera Laut AS, anak kapal Sammy B “terapung selama hampir tiga hari menunggu diselamatkan, dengan ramai mangsa yang terkorban akibat kecederaan dan serangan jerung”.
Daripada 224 anak kapal, 89 terbunuh.
Pertempuran itu adalah sebahagian daripada ‘Pertempuran Leyte’ yang lebih besar, yang menyaksikan perang sengit selama beberapa hari antara tentera AS dan Jepun.
Sammy B adalah salah satu daripada empat kapal AS yang karam dalam pertempuran 25 Oktober. USS Johnston, pada kedalaman hampir 6,500 meter sebelum ini merupakan kapal karam paling dalam di dunia yang dikenal pasti, telah ditemukan pasukan Vescovo tahun lepas.
Pasukan itu juga mencari USS Gambier Bay yang berada lebih 7,000m di bawah paras laut, tetapi tidak dapat mengesannya.
Sebelum ini, bangkai kapal Titanic terletak di sekitar kedalaman 4,000 meter. – Agensi