Mulai 1 Julai semua pengembara tidak lagi perlu memohon ‘Thailand Pass’ atau membeli insurans perjalanan untuk memasuki negara itu, umum Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) hari ini (17 Jun).
Thailand Pass ialah platform dalam talian di mana pelancong dikehendaki menyerahkan dokumen dan maklumat kesihatan sebelum mereka masuk ke negara itu dimulakan 1 Mei lalu. Selepas mengisinya pengembara akan menerima kod QR untuk bergerak di Thailand.
Permohonan itu akan diluluskan oleh pihak berkuasa pusat di Thailand dan bukannya Kedutaan atau Konsulat Thai.
Bagaimanapun, pengembara masih perlu menunjukkan bukti vaksinasi Covid-19 atau keputusan ujian Covid-19 yang negatif. Bukti sedemikian akan diperiksa oleh kakitangan syarikat penerbangan sebelum berlepas.
Dengan Thailand menghampiri tahap endemik Covid-19, CCSA berkata ia telah memutuskan untuk membatalkan lebih banyak sekatan yang sebelum ini dilaksanakan.
Pemakaian pelitup muka tetap disyorkan untuk orang awam tetapi tidak wajib dipakai di luar rumah, kecuali kawasan sesak atau tidak mempunyai pengudaraan yang baik, kata CCSA.
Untuk persekitaran dalaman, topeng masih diwajibkan. Bagaimanapun, menurut CCSA, orang ramai boleh menanggalkan pelitup muka semasa menjalankan aktiviti tertentu seperti makan, bersenam, menerima penjagaan atau perkhidmatan yang melibatkan bahagian muka serta seni persembahan.
Tempat hiburan malam akan dibenarkan beroperasi seperti biasa, berdasarkan peraturan pra-pandemi.
Menurut CCSA, ini bermakna tempat tertentu akan dapat melanjutkan operasi mereka sehingga jam 2 pagi manakala yang lain akan terus ditutup pada tengah malam.
Pemeriksaan suhu dalam bangunan tidak lagi diperlukan melainkan kawasan itu berisiko tinggi Covid-19.
Untuk perhimpunan sosial, jurucakap CCSA Taweesin Visanuyothin berkata ujian antigen pantas hanya diperlukan untuk individu yang disyaki menghidap Covid-19.
“Ujian antigen hanya akan dijalankan dengan kes yang mencurigakan dan menunjukkan simptom pernafasan.
“Sekiranya berlaku perhimpunan dengan lebih 2,000 orang, penganjur dikehendaki memaklumkan kepada jawatankuasa penyakit berjangkit di wilayah atau di Bangkok untuk memantau dan mencegah penularan,” katanya. – Agensi