Perdana Menteri Scott Morrison mengakui kekalahan dalam pilihan raya kebangsaan pada Sabtu (21 Mei) selepas ‘malam yang sukar’ untuk kerajaan konservatifnya.
“Malam ini, saya telah bercakap dengan ketua pembangkang dan perdana menteri yang akan datang, Anthony Albanese, dan saya telah mengucapkan tahniah atas kemenangan,” kata Morrison pada ucapan yang disiarkan di Sydney.
Menurutnya beliau akan berundur sebagai ketua parti Liberal.
Keputusan separa menunjukkan gabungan Liberal-Nasional Morrison telah dihukum oleh pengundi di Australia Barat dan kerusi bandar yang mewah khususnya.
Beliau, yang mengambil alih pentadbiran Australia pada 2018 selepas beberapa krisis kepimpinan, turut memaklumkan akan melepaskan jawatan ketua parti Liberal, sekali gus menamatkan pentadbiran selama lapan tahun enam bulan menerusi kerajaan campuran.
Pengundian di kebanyakan negeri di Australia ditutup hari ini dengan tinjauan pendapat sejak awal lagi menunjukkan pihak pembangkang, Parti Buruh, mendahului gabungan Konservatif pimpinan Morrison.
Parti Buruh masih belum mencapai 76 daripada 151 kerusi Parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan. Keputusan akhir mungkin mengambil masa kerana pengiraan bilangan rekod undi pos belum selesai.
Pada pilihan raya sebelum ini, gabungan konservatif mendapat 76 kerusi manakala Parti Buruh hanya memperoleh 68 dengan baki tujuh lagi dimenangi parti minoriti dan calon Bebas.
Sebanyak 76 kerusi Senat turut dipertandingkan, masing-masing 12 membabitkan enam negeri dan masing-masing dua di dua wilayah.
Pilihan raya umum ini akan menentukan siapa menguasai Parlimen, Senat dan siapa akan berpindah ke ‘Lodge’, kediaman rasmi perdana menteri.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Australia, lebih tujuh juta orang melaksanakan pengundian awal iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi. – Agensi