Lebih 250 askar Ukraine yang berlindung di kilang keluli Azovstal di Mariupol meletak senjata dan menyerah diri kepada tentera Russia selepas berminggu-minggu terkepung, mengesahkan penguasaan sepenuhnya Moscow ke atas bandar pelabuhan itu.
Walaupun ketika Kremlin bersiap sedia untuk mengambil alih sepenuhnya Mariupol, ia menghadapi penentangan yang semakin meningkat dalam usahanya untuk menakluki semua wilayah Donbas di timur Ukraine.
Wartawan Reuters melihat bas meninggalkan kilang keluli itu lewat Isnin dalam konvoi diiringi oleh kenderaan perisai Russia. Lima daripadanya tiba di bandar Novoazovsk yang dikuasai Rusia, di mana Moscow berkata mangsa yang cedera akan dirawat.
Apa akan berlaku kepada askar yang menyerah diri itu tidak dapat dipastikan. Kremlin berkata Putin secara peribadi memberi jaminan bahawa banduan akan dilayan mengikut piawaian antarabangsa, dan pegawai Ukraine berkata mereka boleh ditukar dengan tawanan Russia.
Seorang saksi berkata tujuh bas yang membawa askar Ukraine dari Azovstal tiba di penjara yang baharu dibuka semula di bandar Olenivka, berhampiran Donetsk yang dikuasai Russia.
Agensi berita TASS berkata, jawatankuasa Russia merancang untuk menyoal askar, kebanyakannya anggota Batalion Azov, sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap apa yang Moscow panggil “jenayah rejim Ukraine”.
Peletakan senjata itu membolehkan Moscow mengawal sepenuhnya kawasan pantai Laut Azov dan timur serta selatan Ukraine, walaupun tenteranya berundur dari pinggir Kharkiv di timur laut.
Pada peringkat antarabangsa, Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson berkata Sweden dan Finland pada Rabu akan menyerahkan permohonan masing-masing untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), meninggalkan dasar berkecuali mereka yang berpanjangan kerana kebimbangan mengenai niat Putin yang lebih luas.
Tindakan mereka akan memperluaskan lagi perikatan Barat yang digunakan Putin sebagai salah satu justifikasi utama untuk apa yang disebutnya sebagai “operasi ketenteraan khas”.
Penawanan sepenuhnya Mariupol adalah kemenangan terbesar Russia sejak pencerobohan 24 Februari lalu. Tetapi bandar pelabuhan itu telah runtuh sepenuhnya, dan Ukraine percaya berpuluh-puluh ribu penduduk setelah dibom oleh Russia selama berbulan-bulan.
Russia berkata sekurang-kurangnya 256 askar Ukraine telah meletak senjata dan menyerah diri, termasuk 51 yang cedera parah. Ukraine berkata 264 askar, termasuk 53 cedera.
Video Kementerian Pertahanan Russia menunjukkan askar Ukraine meninggalkan loji itu, ada yang dibawa menggunakan pengusung, yang lain mengangkat tangan untuk diperiksa oleh tentera Russia. – Reuters