Tentera Filipina akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dibadai ribut tropika Megi pada Ahad lalu.
Menurut pihak berkuasa negara itu, seramai 123 orang sudah maut akibat daripada bencana alam yang terburuk melanda negara kepulauan tersebut setakat ini.
Sementara itu, berpuluh-puluh mangsa masih hilang ketika askar meneruskan pencarian mereka di negara yang mempunyai lebih 7,600 pulau tersebut.
Kira-kira 240 orang cedera selepas hujan lebat mengakibatkan kejadian tanah runtuh dan banjir di tengah dan selatan Filipina, kata jurucakap tentera.
Lebih 162,000 penduduk juga sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan 41,000 lagi berpindah bersama saudara-mara, menurut data daripada kerajaan.
Sekurang-kurangnya 86 orang maut di kampung sekitar bandar Baybay di wilayah tengah Leyte, antara wilayah yang paling teruk terjejas akibat ribut tropika Megi, kata pemerintah di wilayah tersebut.
Laporan itu menambah, 236 orang turut cedera di kawasan sekitar bandar ini yang bergunung-ganang dan terdedah dengan kejadian tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya 117 orang masih hilang di sekitar bandar Baybay, kata pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, dilaporkan kira-kira 26 orang maut di bandar Abuyog di wilayah Leyte, dengan 150 orang lagi masih hilang, kata pihak berkuasa.
Orang ramai juga mendaki gunung untuk mengelakkan banjir kilat, namun dihanyutkan susulan tanah runtuh yang kuat.
Daerah Kantagnos di Leyte juga “musnah teruk,” kata unit Batalion Kejuruteraan dan Pembinaan tentera Filipina di Facebook.
Pusat Kecemasan Bencana Kebangsaan Filipina berkata jumlah kos kemusnahan rumah, tanaman dan infrastruktur dianggarkan berjumlah kira-kira 137 juta peso, atau AS$2.6 juta.