TEKS PERBAHASAN USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA PARLIMEN KE-14 YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MD YASSIN AHLI PARLIMEN PAGOH 7 MAC 2022 (ISNIN)
Menjunjung Kasih Titah DYMM YDPA
Bismillahir Rahmannir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Tuan Yang Dipertua,
1. Saya ingin memulakan ucapan perbahasan saya dengan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kesudian Kebawah Duli Tuanku berangkat untuk bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-14 pada 1 Mac lalu.
2. Titah nasihat serta keprihatinan Kebawah Duli Tuanku terhadap kesejahteraan rakyat dengan mengingatkan kita semua agar sentiasa menjaga kesihatan, keharmonian dan keselamatan amatlah dihargai oleh rakyat. Sesungguhnya rakyat keseluruhannya menyanjung tinggi keprihatinan Kebawah Duli Tuanku.
1MDB
Tuan Yang Dipertua,
3. Pada 2 Mac yang lalu, Dewan yang mulia ini telah dicemarkan oleh kenyataan Yang Berhormat Pekan berkenaan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Beliau mendakwa hutang tersebut tidak dibayar menggunakan wang rakyat. Ini adalah suatu kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan ahli-ahli Yang Berhormat.
4. Saya hairan Pekan sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh terlupa bahawa hutang-hutang 1MDB adalah dijamin oleh Kerajaan. Apabila 1MDB gagal membayar hutang-hutang termasuk faedah yang keseluruhannya berjumlah lebih RM50 billion, maka kerajaanlah yang terpaksa membayar hutang-hutang ini.
5. Sepertimana yang telah dijelaskan oleh YB Menteri Kewangan di dewan yang mulia ini pada 3 Mac lalu, setakat akhir Februari 2022, jumlah hutang 1MDB yang masih perlu dibayar adalah bernilai RM38.8 billion, merangkumi RM32.3 bilion hutang prinsipal dan RM6.5 bilion faedah hutang. YB Menteri Kewangan pada bulan Januari yang lalu turut memaklumkan, bahawa Kerajaan sudah membayar hutang 1MDB berjumlah RM13.3 bilion setakat ini. Maknanya, ini duit rakyatlah.
6. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Pekan ialah, oleh kerana kerajaan telah berjaya merampas semula sebahagian wang dan aset 1MDB yang telah dicuri, maka gunalah wang dan aset itu untuk membayar balik hutang 1MDB.
Tuan Yang Di-Pertua,
7. Antara aset yang berjaya dirampas semula ialah sebuah kapal layar mewah bernilai 130 juta dollar AS, sebuah jet peribadi bombardier bernilai 35 juta dollar AS dan aset-aset mewah milik anak tiri Pekan iaitu sebuah townhouse bernilai 23.2 juta pound di London, sebuah rumah mewah bernilai 17.5 juta dollar AS di Beverly Hills dan sebuah kondominium mewah bernilai 35.5 juta dollar AS di New York. Kesemua aset-aset ini tentunya dibeli bukan untuk tujuan pelaburan yang menguntungkan 1MDB. Tetapi sebaliknya dikeroyok oleh orang-orang yang rapat dengan Pekan menggunakan sebahagian wang berjumlah 4.5 bilion dolar AS yang dicuri dari 1MDB.
8. Nasib baiklah Barisan Nasional kalah dalam PRU-14 dan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Maka kerajaan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk merampas semula wang dan aset 1MDB yang dicuri. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas ini untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing. Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Asset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.
9. Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia. Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik – cerdik berbohong.
10. Seperti yang sudah banyak kali saya jelaskan dan tegaskan, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir Kerajaan. Apa lagi yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai (dengan izin) “the biggest scandal of the century” yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau the plundering idiots yang mencetuskan a national embarrassment.
Pemulihan Ekonomi
Tuan Yang Dipertua,
11. Kita semua sedar bahawa pada tahun 2020, ekonomi negara telah menguncup pada kadar 5.6%, dan berkembang semula pada kadar 3.1% pada tahun 2021. Ini bermakna ekonomi kita, dari segi jumlah pengeluaran, atau `total output’, belum lagi pulih sepenuhnya ke tahap seperti pada tahun 2019.
12. Hasil daripada usaha-usaha yang dimulakan Kerajaan Perikatan Nasional untuk menangani COVID-19, bermula dengan kejayaan program vaksinasi, diikuti bantuan-bantuan ekonomi dan kewangan serta pembukaan hampir semua sektor ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah membolehkan ekonomi berkembang, pendapatan meningkat dan pengangguran dibendung daripada menjadi bertambah buruk lagi.
13. Dari segi aspek kesihatan, walaupun kes-kes COVID-19 masih tinggi ekoran ancaman varian baharu termasuk Omicron, kita bersyukur kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah berjaya memberikan suntikan vaksin kepada lebih 90 peratus penduduk negara ini dengan 60 peratus telah mendapat dos penggalak.
14. Beberapa indikator daripada data badan penyelidikan seperti Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menunjukkan proses pemulihan ekonomi semakin kukuh. Dari aspek pelaburan, Malaysia telah berjaya menarik lebih RM220 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2021 untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan.
15. Begitu juga indeks pengeluaran serta eksport sektor pembuatan adalah positif sepanjang tahun 2021. Indeks bagi sektor perkhidmatan, khususnya jualan borong dan runcit, dan indeks pinjaman bank perdagangan dan perbankan Islam juga adalah positif sepanjang tahun 2021.
16. Walaupun demikian angka-angka ini masih di bawah data masa biasa atau ‘normal years’ dan ini menunjukkan bahawa kita perlu jangka masa dua atau tiga tahun lagi sebelum ekonomi pulih sepenuhnya. Sebagai contoh, sektor berkaitan pelancongan seperti perhotelan dan pengangkutan masih belum rancak kerana kita belum membuka sempadan sepenuhnya untuk kemasukan para pelancong asing.
17. Sehubungan itu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) telah mencadangkan supaya pembukaan sempadan negara sepenuhnya dilaksanakan mulai awal Mac dengan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya industri pelancongan, perdagangan dan sektor ekonomi yang berkaitan dapat dirancakkan kembali.
18. Saya tidak nampak alasan kenapa keputusan membuka sempadan ini hendak dilengah-lengahkan lagi, sedangkan negara-negara lain yang program vaksinasinya tidak sehebat negara kita sudah pun berbuat demikian.
Tuan Yang Dipertua,
19. Putaran pendapatan atau income circulation semasa tempoh ekonomi negara merudum akibat pandemik COVID-19 adalah amat penting. Dengan izin, “Our nation’s income must be circulated in order to spur the economy.”
20. Tuduhan yang dilemparkan oleh Pekan, dengan mengatakan saya membazir hanya kerana Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya menyediakan pakej-pakej bantuan rakyat dan rangsangan ekonomi bernilai RM600 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah tidak bertanggungjawab. Tuduhan ini amat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi oleh rakyat dan komuniti perniagaan di waktu pandemik.
21. Ramai individu yang saya temui mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional atas pelbagai bentuk bantuan yang mereka terima. Ini termasuk Makcik Kiah, Pak Salleh dan lain-lain peniaga, penjaja kecil dan orang-orang biasa yang menerima bantuan kerajaan semasa pandemik. Ini termasuk pelbagai bentuk bantuan tunai bernilai RM17 billion yang disalurkan terus kepada rakyat pada tahun lalu sahaja. Program subsidi upah bernilai RM20 billion juga telah banyak membantu pekerja memperolehi gaji dan pemilik perniagaan meneruskan operasi perniagaan semasa pandemik walaupun ekonomi terjejas teruk.
22. Selain itu, pakej-pakej rangsangan ekonomi yang saya umumkan telah menyumbang sebanyak 3.7 hingga 4.0 mata peratusan KDNK pada tahun 2020 dan menjadi antara penyumbang utama pemulihan ekonomi pada masa ini. Ini menunjukkan pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang disediakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional memberikan banyak kesan positif kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.
23. Hakikatnya, dunia semasa dan pasca-pandemik memerlukan negara-negara termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa. Kerajaan Perikatan Nasional pada ketika itu memastikan perniagaan dapat terus berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan berada di atas meja untuk keluarga yang terjejas.
24. Peruntukan yang besar tersebut tidak masuk dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk kepentingan rakyat yang benar-benar terkesan akibat pandemik. Pembelian vaksin, bantuan tunai terus ke akaun rakyat, pembukaan pusat-pusat kuarantin dan PPV – semuanya untuk rakyat. Di mana yang saya membazir?
25. Kesemua wang yang diperuntukkan itu adalah bagi membantu rakyat dan negara menjana pendapatan yang menyumbang kepada kesan berganda ekonomi atau dengan izin, multiplier effect. Oleh sebab itu, sejumlah peruntukan yang besar telah dibelanjakan secara telus dan bersasar bagi maksud pemberian pelbagai bentuk insentif dan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) dan industri yang amat terkesan sepanjang dua tahun suram yang turut dirasai di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19.
26. Saya sebenarnya hairan dengan sikap Pekan. Apabila saya sebagai Perdana Menteri menyalurkan bantuan bernilai ratusan billion ringgit kepada rakyat dan perniagaan di kala susah dikatakan membazir. Tetapi ketika dia menjadi Perdana Menteri, puluhan billion duit rakyat lesap begitu sahaja tidak pula dikatakan membazir. Mungkin kerana dia mendapat untung, tidaklah membazir bagi dia.
Tuan Yang Dipertua,
27. Berbalik kepada isu pemulihan, Pelan Pemulihan Negara telah pun meletakkan proses pemulihan pada landasan yang betul. Ada tiga aspek pemulihan; pertama, pemulihan output atau jumlah pengeluaran dan ini mungkin tercapai dalam setahun dua lagi. Kedua, ialah pemulihan jumlah pekerjaan atau total employment dan ketiga ialah kualiti hidup atau quality of life.
28. Aspek kedua dan ketiga memerlukan pertumbuhan ekonomi yang mampan atau `sustainable economic growth’. Ini saya istilahkan sebagai `Recovery Plus Plus (Recovery++). Recovery++ ini memerlukan polisi dan program yang mantap berteraskan kepada pelaburan yang berkualiti, produktiviti yang tinggi serta penciptaan dan peluasan perdagangan agar pertumbuhan ekonomi bagi tempoh 2023 – 2025 dan seterusnya, mantap dan mampan. Jika tidak, kita mungkin terperangkap dalam `double-dipped growth’, iaitu pertumbuhan ekonomi yang merosot dua kali, atau istilah ekonominya disebut “W-shaped Recovery”.
29. Justeru, untuk tujuan ini, saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara telah mengesyorkan kepada kerajaan supaya memulakan segera agenda Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) yang mempunyai dasar dan strategi yang sesuai serta tuntas dengan berpaksikan, dengan izin, ‘quality investment, high productivity, and trade creation’. Saya mengesyorkan agar PPN 2.0 yang terasnya adalah Recovery++ perlulah bersifat inklusif dan melibatkan pihak-pihak berkepentingan melalui pendekatan bersepadu seluruh negara atau, `whole of nation approach’.
Tuan Yang Dipertua,
30. Ingin saya tegaskan bahawa usaha-usaha pemulihan perlulah bersifat luar biasa, dengan izin ‘out of the box’ dan ‘surpetition’ bagi mewujudkan pertumbuhan yang mantap dan gemilang serta mampu meletakkan Malaysia kembali di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Usaha-usaha pemulihan ekonomi ini juga mestilah dilaksanakan secara bertanggungjawab oleh kepimpinan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.
31. Saya berdoa mudah-mudahan ekonomi negara dan kehidupan rakyat pasca pandemik COVID-19 akan segera pulih dan kita semua akan mengecapi kehidupan yang makmur dan sentosa.
Terima kasih.