Russia hari ini bertindak balas terhadap sekatan baharu oleh Amerika Syarikat (AS), dengan mengatakan bahawa Moscow akan mengusir 10 diplomat AS dan bersedia mengambil beberapa langkah lain yang lebih tegas.
Menteri Luar Russia Sergey Lavrov juga berkata, Moscow akan menambah lapan lagi pegawai pentadbiran Washington ke dalam senarai sekatannya dan bertindak menghalang serta menghentikan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) AS daripada campur tangan dalam politik Russia.
Semalam, Rumah Putih mengumumkan sekatan baharu terhadap Kremlin dan mengusir 10 diplomat Russia di atas apa yang didakwa AS sebagai campur tangan Moscow dalam pilihan raya presiden, serangan siber dan beberapa aktiviti jahat.
“Kami akan bertindak balas terhadap langkah ini dengan cara yang tepat. Kami akan mengarahkan 10 diplomat AS meninggalkan Russia,” kata Lavrov.
Kremlin katanya, mencadangkan agar Duta Besar AS John Sullivan mengikuti teladan rakan sejawatnya dari Russia dan pulang ke Washington untuk berunding.
Moscow juga menghalang kedutaan AS daripada mengambil rakyat Russia atau negara ketiga menjadi kakitangan sokongannya.
Lavrov juga dikatakan mengugut akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya AS meningkatkan sekatan terhadap 150 pegawai Russia yang bertugas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lapan pegawai atasan dan bekas pegawai tinggi AS yang disenaraikan dalam sekatan Russia itu, termasuk Pengarah Biro Siasatan Persekutuan, Christopher Wray; Pengarah Perisikan Kebangsaan, Avril Haines Peguam Negara, Merrick Garland; dan Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas.
Yang lain ialah Pengarah Biro Penjara Persekutuan, Michael Carvajal; Pengarah Majlis Dasar Dalam Negeri, Susan Rice; bekas Penasihat Keselamatan AS, John Bolton; dan bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Robert James Woolsey.
“Sekarang adalah masa bagi Amerika Syarikat untuk menunjukkan fikiran positif dan membelakangi konfrontasi. Jika tidak, pelbagai keputusan yang menyakitkan Amerika akan dilaksanakan,” kata kenyataan Kementerian Luar Russia.
Lavrov juga memberi amaran bahawa Moscow boleh mengambil tindakan yang ‘menyakitkan’ terhadap kepentingan perniagaan AS di Russia. – Agensi