Saintis dilaporkan mula mengawasi dengan teliti subvarian versi Omicron Covid-19 yang ditemui baru-baru ini untuk menentukan bagaimana kemunculannya boleh menjejaskan penyebaran wabak itu pada masa hadapan.
Virus Omicron lebih awal kini telah menjadi varian dominan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi pihak berkuasa kesihatan Britain telah mengenal pasti ratusan kes versi terbaharu, digelar BA.2, manakala data antarabangsa mencadangkan ia boleh merebak dengan agak cepat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 8,000 kes dikenal pasti di lebih 40 negara, termasuk AS, India, Jerman dan Australia.
Di UK, kira-kira 426 kes telah dikesan sejak subvarian Omicron pertama kali ditemukan pada Disember lalu. Walaupun jumlah itu mungkin kelihatan kecil jika dibandingkan dengan puluhan ribu kes harian Covid-19 dalam tempoh dua bulan yang lalu, angka sebenar BA.2 dianggap akan berlipat kali ganda lebih tinggi kerana hanya sebahagian kecil daripada jangkitan yang diuji.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengenal pasti lebih 400 kes di Britain dalam 10 hari pertama bulan ini dan telah menunjukkan varian terbaharu telah dikesan di kira-kira 40 negara lain, menjadi penyumbang kepada sebahagian besar kes terbaharu di beberapa negara, termasuk India, Denmark dan Sweden.
UKHSA memberitahu mereka telah mengenal pasti subketurunan BA.2 sebagai varian dalam siasatan (VUI), kerana kesnya semakin meningkat walaupun, di Britain, versi awal Omicron pada masa ini kekal dominan.
Pihak berkuasa menggariskan bahawa “masih terdapat ketidakpastian tentang kepentingan perubahan pada genom virus”, yang memerlukan pengawasan kerana, selari, kes dalam beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan peningkatan mendadak BA.2 terutaman di India dan Demark.
“Apa yang mengejutkan kami ialah kepantasan subvarian ini, yang telah menular ke tahap yang meluas di Asia, telah menguasai Denmark,” pakar epidemiologi Perancis Antoine Flahault memberitahu AFP.
Para saintis mesti menilai bagaimana virus itu, yang telah menimbulkan krisis kesihatan global terburuk dalam satu abad, terus berkembang dan bermutasi.
BA.2 masih belum ditetapkan sebagai varian yang membimbangkan (VOC), tetapi Dr Flahault berkata semua negara perlu berwaspada dengan perkembangan terkini ketika saintis meningkatkan pengawasan.
“(Perancis) menjangkakan peningkatan pada pertengahan Januari. Ia tidak berlaku dan mungkin itu disebabkan oleh subvarian ini, yang kelihatan sangat mudah ditularkan tetapi kurang ganas daripada BA.1,” katanya.
“Apa yang menarik minat kami adalah jika subvarian ini mempunyai ciri yang berbeza daripada BA.1 dari segi penularan dan keterukan jangkitan, kata agensi kesihatan awam Perancis pada hari Jumaat.
Sehingga kini, hanya segelintir kes BA.2 telah muncul di Perancis, tetapi negara itu memantau perkembangan semasa.
Dr Flahault, yang juga Pengarah Institut Kesihatan Global Universiti Geneva, menjelaskan kata kuncinya bukanlah ‘panik’ tetapi ‘berjaga-jaga’ kerana buat masa ini mereka mendapati kesan keterukan kes BA.2 adalah setanding dengan varian asal Omicron.
“Tetapi terdapat banyak soalan di atas meja” dan keperluan untuk memantau sifat varian baharu itu,” katanya.
“Pemerhatian awal dari India dan Denmark menunjukkan tiada perbezaan dramatik dalam keterukan berbanding BA.1,” kata Dr Tom Peacock, pakar virologi di Imperial College, London, sambil menambah varian terbaharu itu tidak seharusnya menjadi persoalan kepada keberkesanan vaksin sedia ada.
Dr Peacock menegaskan “kami tidak mempunyai pegangan yang kuat pada masa ini… berapa banyak lagi kebolehjangkitan BA.2 yang mungkin ada berbanding BA.1. Bagaimanapun, kami boleh membuat beberapa tekaan dan pemerhatian awal”.
Beliau menambah bahawa “kemungkinan terdapat perbezaan minimum dalam keberkesanan vaksin terhadap BA.1 dan BA.2. Secara peribadi, saya tidak pasti BA.2 akan memberi kesan yang besar terhadap gelombang Omicron semasa.
“Beberapa negara hampir, atau bahkan melepasi puncak gelombang BA.1. Saya akan sangat terkejut jika BA.2 menyebabkan gelombang kedua pada ketika ini.
“Walaupun dengan kebolehjangkitan yang lebih tinggi sedikit, ini sama sekali bukan perubahan Delta-Omicron dan sebaliknya berkemungkinan lebih perlahan dan lebih halus,” ramalnya. – Agensi