Penasihat Utama pandemik Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci menjangkakan pandemik Covid-19 akan mengambil masa yang lebih lama untuk berakhir.
Fauci berkata masih terlalu awal untuk mengatakan Covid-19 akan berakhir dalam masa terdekat, malah dunia masih dalam fasa pertama pandemik berkenaan, fasa ‘benar-benar pandemik, di mana seluruh dunia benar-benar mendapat kesan negatif.
Dalam laporan The New York Times semasa berucap secara maya di Forum Ekonomi Dunia, Fauci menegaskan penularan varian baharu Omicron memberi kesan kepada usaha yang diambil untuk menamatkan pandemik tersebut.
Menurut laporan berita itu, Fauci mengakui bahawa jumlah jangkitan berkaitan varian Covid-19 Omicron boleh memberi kesan bermakna pada imuniti kolektif.
“Namun, ia adalah persoalan terbuka sama ada Omicron akan menjadi vaksin virus hidup yang semua orang harapkan, kerana anda mempunyai banyak kebolehubahan dengan varian baharu yang muncul,” kata Fauci.
Data terkini daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) A menunjukkan bahawa negara itu mencatatkan 874,087 kes baharu dan 2,596 lagi kematian Jumaat lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes dan jumlah kematian di seluruh negara masing-masing lebih 65 juta kes dan 847,577 orang.
“Kes jangkitan baharu Covid-19 semakin merata di seluruh negara, dengan purata hampir 802,000 sehari, peningkatan sebanyak 98 peratus sejak dua minggu lalu,” kata laporan itu.