Amerika Syarikat (AS) mendakwa Russia telah menempatkan pasukan operatif yang dilatih mengendalikan bom bagi melaksanakan operasi penyamaran atau ‘false-flag operation’ untuk mencipta alasan bagi menyerang Ukraine
‘False-flag operation’ adalah operasi rahsia pihak pertama yang menyamar menjadi sumber pihak kedua yang bertanggunjawab melakukan sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan pihak kedua dipersalahkan.
AS mengeluarkan laporan perisikan sehari setelah Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan berkata Russia, yang telah mengumpulkan puluhan ribu tentera di sempadan Ukraine, ‘mereka-reka alasan untuk membolehkannya mengambil tindakan menceroboh Ukraine’.
Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata perisikan AS percaya Russia akan memulakan operasi ‘flase-flag’ ‘beberapa minggu’ sebelum pencerobohan tentera, kemungkinan antara pertengahan Januari dan pertengahan Februari.
“Kami mempunyai maklumat yang menunjukkan Russia telah menetapkan sekumpulan operatif untuk menjalankan operasi false-flag di timur Ukraine,” kata Psaki kepada pemberita.
“Anggota operatif dilatih dalam peperangan bandar dan menggunakan bahan letupan untuk melakukan tindakan sabotaj terhadap pasukan proksi Russia sendiri.”
Russia segera menafikan tuduhan itu, dengan jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menggelar kenyataan AS tidak berasas.
Tetapi jurucakap Pentagon, John Kirby berkata laporan perisikan itu “amat boleh dipercayai” dan taraf klasifikasinya diturunkan bagi membolehkan ianya didedahkan kepada umum.
Beliau berkata operasi flase-flag Russia termasuk membabitkan ejen perisikan, elemen ketenteraan dan perkhidmatan keselamatan lain.
Dakwaan itu menyusul tatkala sistem internet Ukraine diserang secara besar-besaran, yang menyebabkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berikrar meningkatkan kerjasama keselamatan internet dengan Kyiv.
Psaki berkata Russia, di samping persiapan operasi flase-flag, telah meningkatkan kempen di media sosial, yang menuduh Ukraine melakukan pencabulan hak asasi manusia dan Barat mencetuskan ketegangan.
“Maklumat kami juga menunjukkan bahawa Kremlin sudah mula mengada-adakan provokasi dari dalam Ukraine menerusi media sosial untuk mewajarkan campur tangan Russia dan menyemai perpecahan di Ukraine,” katanya. – Agensi