Enam belas kematian yang direkodkan hari ini menjadi ‘hari hitam’ bagi New South Wales, sejak pandemik Covid-19 melanda Australia, tatkala peraturan dilonggarkan bagi membolehkan pekerja tanpa gejala menjalankan tugas mereka.
Negeri padat penduduk di Australia itu juga melaporkan 30,000 kes baharu, sekali gus jumlah pesakit yang menjalani kuarantin di negara itu mencecah 200,000.
Bagaimanapun, tiada statistik diberikan berhubung jumlah pekerja sektor penting yang diberi kelonggaran itu. Tetapi sesetengah majikan memaklumkan sehingga separuh pekerja mereka bercuti setelah menjadi kontak rapat kepada individu yang positif Covid-19.
Pembeli pula melaporkan rak kosong di kebanyakan pasar raya kerana kesan penularan varian Omicron sehingga menganggu pemprosesan makanan dan rantaian bekalan.
“Pekerja kritikal dalam sektor logistik makanan dan pembuatan yang bercuti kerana menjadi kontak rapat dibenarkan menamatkan kuarantin kendiri dan hadir di tempat kerja jika mereka tidak mempunyai simptom Covid-19.
“Langkah ini diambil bagi memastikan penduduk terus mendapat akses kepada barangan keperluan,” kata Jabatan Kesihatan New South Wales dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bagaimanapun, pekerja hanya boleh menamatkan kuarantin kendiri jika majikan mereka memutuskan bahawa ketidakhadiran pekerja terbabit menimbulkan gangguan terhadap perkhidmatan kritikal, dan jika mereka tidak dapat bekerja dari rumah.
Pekerja yang kembali bertugas perlu memakai pelitup muka dan mematuhi protokol pengurusan risiko yang ditetpkan majikan mereka, termasuk ujian antigen pantas harian. Jika mereka positif, mereka perlu kembali menjalani kuarantin.
Perubahan peraturan juga meliputi sektor pertanian kepada kakitangan bio-sekuriti dan keselamatan makanan yang menjalankan tugas kritikal; dalam pembuatan kepada pengeluaran makanan, minuman, barangan runcit dan produk pembersihan dan kebersihan; dan dalam pengangkutan ke logistik serta penghantaran makanan.
Daripada 16 pesakit yang meninggal dunia hari ini, lapan wanita dan lapan lelaki berusia dalam lingkungan 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an, kata jabatan itu.
Angka itu mengatasi rekod sebelumnya iaitu 15 kematian, yang dicatat dua kali, pada 29 September dan 1 Oktober tahun lalu.
Negeri Victoria pula melaporkan 44,155 kes baharu pada Ahad, termasuk 22,051 daripada ujian antigen pantas dan 22,104 daripada ujian PCR.
Saringan yang dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan menunjukkan sekitar 80 peratus kes baharu membabitkan jangkitan varian Omicron.
Victoria merekodkan lapan kematian pada Ahad, tetapi Menteri Kesihatan Australia Greg Hunt berkata jumlah jangkitan teruk adalah agak rendah di tengah-tengah penyebaran Omicron. – Agensi