Jangkitan harian Covid-19 di Arab Saudi menunjukkan lonjakan tiga hari berturut-turut sehingga buat pertama kalinya semalam merekodkan lebih 744 jangkitan baharu dan satu kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam.
Minggu lalu, jangkitan baharu harian di negara itu hanya sekitar 50 kes dengan berlaku gelombang naik turun kadar kes harian, namun angka itu terus melonjak melebihi 500 kes sejak 28 Disember lalu.
Pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan sebanyak 231 kes sembuh direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan angka kes sembuh di negara itu terus meningkat kepada 541,388 kes.
Sehingga kini, kumulatif kes positif di Arab Saudi terus mencecah ke 554,665 kes dengan 8,874 korban sejak tahun lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan kerajaan Arab Saudi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di kawasan Masjidil Haram selepas hujan lebat pada Selasa lalu.
Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci Sheikh Abdul Rahman Al-Sudai memaklumkan pihaknya sedang giat menggandakan usaha pembersihan dan sudah melantik 200 penyelia dan pemerhati bagi memantau 4,000 petugas kebersihan yang terlibat.
Selain itu, Perkhidmatan Hal Ehwal Lapangan, Penyiasatan dan Alam Sekitar masjid turut memberitahu semua kawasan di perkarangan, pintu masuk dan keluar masjid disediakan laluan untuk pengaliran air selepas hujan berhenti.
Jelasnya, tindakan itu bertujuan untuk menjaga keselamatan jemaah di Masjidil Haram sekali gus semua jemaah dapat melaksanakan ibadah dengan selamat.
“Sebanyak 470 mesin peralatan sedutan air dan mencuci di kawasan dalam, luar dan bumbung masjid digunakan bagi membantu proses pengeringan.
“Pihak presiden sudah membangunkan tindakan berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi hujan, selain membersihkan saliran bagi memastikan tiada sebarang halangan,” jelasnya.
Susulan itu, pertahanan awam negara itu menggesa orang ramai supaya berjaga-jaga selepas pusat meteorologi meramalkan hujan lebat dan ribut petir di beberapa bahagian di negara itu dijangka berlaku sehingga hari ini. – Agensi