Tiga dos vaksin Covid-19 AstraZeneca dilaporkan berkesan dalam menangani penularan varian Omicron, kata syarikat farmaseutikal itu hari ini, memetik data daripada kajian makmal Universiti Oxford.
Penemuan daripada kajian itu, yang belum diterbitkan dalam jurnal perubatan untuk semakan pakar lain, sepadan dengan hasil daripada saingan mereka, Pfizer-BioNTech dan Moderna yang juga mendapati bahawa suntikan dos ketiga berkesan terhadap Omicron.
Kajian mengenai vaksin AstraZeneca, Vaxzevria, menunjukkan bahawa selepas tiga dos vaksin, tahap peneutralan terhadap Omicron secara amnya serupa dengan varian Delta selepas dua dos.
Syarikat yang disenaraikan di bursa saham London itu berkata penyelidik Universiti Oxford yang menjalankan kajian itu adalah bebas daripada mereka yang bekerja dengan AstraZeneca.
“Memandangkan kami lebih memahami Omicron, kami percaya kami akan mendapati bahawa tindak balas sel T menyediakan perlindungan tahan lama terhadap penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital,” kata Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Biofarmaseutikal AstraZeneca, Mene Pangalos, merujuk kepada komponen kritikal sistem imun yang bertindak balas untuk melawan jangkitan.
Tahap antibodi melawan Omicron selepas suntikan penggalak adalah lebih tinggi daripada antibodi individu yang telah dijangkiti dan pulih secara semula jadi daripada Covid-19, kata pembuat ubat Inggeris-Sweden itu.
Walaupun data awal memberi kesan positif kepada syarikat itu, AstraZeneca berkata mereka sedang bekerjasama dengan rakan kongsinya Universiti Oxford untuk menghasilkan vaksin yang disesuaikan untuk Omicron, menyertai usaha serupa daripada pembuat vaksin lain.
Kajian Oxford menganalisis sampel darah daripada mereka yang dijangkiti Covid-19, mereka yang divaksin dengan dua dos dan dos penggalak, dan mereka yang sebelum ini dijangkiti dengan varian lain yang membimbangkan. Ia termasuk sampel daripada 41 individu yang diberi tiga dos Vaxzevria.
Saintis dan kerajaan seluruh dunia kini sedang berusaha untuk menangani penularan Omicron dengan memperluaskan pemberian vaksin dan terapi, setelah varian itu kini dilaporkan akan menjadi dominan. – Agensi