Australia hari ini dikejutkan dengan pesta belon istana atau ‘bouncing castle’ bertukar menjadi tragedi apabila empat kanak-kanak terkorban dan beberapa lain cedera parah selepas terpelanting 10 meter ke udara apabila belon itu ditiup angin sebelum pecah di Tasmania.
Dua murid lelaki dan dua perempuan Tahun Enam, Sekolah Rendah Hillcrest di Devonport, barat laut Tasmania, disahkan maut, manakala lima lagi dimasukkan ke hospital.
Pihak polis memaklumkan tragedi itu berlaku ketika murid sekolah rendah berkenaan sedang bermain-main meraikan minggu terakhir persekolahan sebelum cuti Krismas.
“Ini satu yang tragis, saya mengesahkan empat kanak-kanak terkorban. Apa yang terjadi ini sangat menyayat hati dan menyediakan,” jelas Komander Polis Tasmania, Debbie Williams.
Tiada penjelasan lanjut bagaimana belon berbentuk istana itu boleh melambung ke udara, namun ia dipercayai ditiup angin kencang.
Beberapa helikopter penyelamat dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian, sementara media tempatan turut menyiarkan pegawai polis dilihat menangis di lokasi kejadian.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menggambarkan tragedi itu sangat menyedihkan, di luar jangkaan dan menyayat hati.
“Keseronokan dan kegembiraan anak kecil bersama keluarga, bertukar menjadi tragedi yang begitu ngeri dan ia sangat ‘menyayat hati’.
Sebelum ini, pihak sekolah menjemput ibu bapa pelajar untuk menjadi sukarelawan dalam acara tersebut yang menyediakan pelbagai permainan seperti zon permainan basah, gelungsur, kawasan seni dan kraf serta belon istana.
“Pesta itu diadakan bagi meraikan kejayaan sepanjang tahun ini sambil menikmati beberapa aktiviti menyeronokkan lain dengan rakan sekelas mereka,” menurut ciapan sekolah Hillcrest Primary, dalam lama Facebooknya. – Agensi