Dua media didapati melakukan kesilapan dalam laporan berhubung perolehan vaksin Covid-19 yang dipetik menerusi kenyataan mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menteri Kesihatan itu berkata hasil semakan terhadap transkrip ucapan Muhyiddin berhubung jumlah perbelanjaan yang sudah digunakan untuk membeli vaksin mendapati tiada sebarang kenyataan sedemikian dikeluarkan, malah laporan tersebut juga tidak tepat sama sekali.
“Dalam sesi penerangan itu, Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) membangkitkan laporan media yang memetik kenyataan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Ia berhubung kenyataan bahawa negara telah membelanjakan lebih RM2 bilion daripada peruntukan keseluruhan RM3 bilion untuk membeli bekalan vaksin buat 30 peratus penduduk negara seperti laporan portal Berita Harian, Malaysia dan The Straits Times, Singapura, pada 13 Disember 2020.
“Namun setelah pejabat saya memperoleh transkrip penuh ucapan Tan Sri Muhyiddin, ternyata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu dan ia adalah laporan tidak tepat, sekurang-kurangnya oleh dua agensi berita itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Khairy menasihat supaya pengamal media lebih berhati-hati dalam membuat laporan mereka agar tidak mengelirukan orang ramai.
“Bagaimanapun, kesilapan laporan itu tidak diperbetulkan dan boleh diakses sehingga hari ini.
Saya juga ingin mengingatkan pengamal berita untuk lebih berhati-hati dalam laporan mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, pada 1 Disember tahun lalu, media melaporkan Muhyiddin “tersilap cakap” apabila berkata kerajaan akan memberi vaksin kepada 6.4 juta rakyat dengan kos RM3 bilion, kata Khairy kepada PAC pada Januari lalu ketika menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Menurut laporannya mengenai perolehan vaksin Covid-19, PAC berkata kenyataan itu mengakibatkan kekeliruan, kerana kos RM468 bagi setiap orang jauh lebih tinggi daripada angka yang didedahkan oleh Belgium, iaitu hanya RM82.40 seorang.