Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan pelaksanaan perintah berkurung bukan satu jalan terbaik untuk mencegah penularan varian baharu Covid-19, Omicron yang sedang melonjak di kebanyakan negara dunia.
Pengarah Serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh memaklumkan perintah berkurung hanya salah satu dari tindakan yang boleh dipertimbangkan, tetapi ia bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada penularan varian Omicron.
“Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana perlaksanaan perintah berkurung sebelum ini terbukti melibatkan kos yang sangat tinggi dan menyusahkan rakyat.
“Dengan itu, tindakan kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) serta meningkatkan kadar vaksinasi adalah amat perlu diberi tumpuan buat masa sekarang,” jelasnya.
Varian baharu ini berisiko ‘naik mendadak’ di seluruh dunia, walaupun wujud ketidakpastian mengenai bahaya dan tahap penularannya, tetapi Omicron dikesan mempunyai jumlah mutasi lebih 30 kali selain memiliki kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi berbanding Delta.
Varian Omicron yang pertama kali dijumpai di Afrika Selatan itu kini sudah menular ke 38 negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia, Belgium, Belanda, Britain, India dan Sri Lanka.
Namun begitu, sehingga kini masih tiada kes kematian yang dilaporkan akibat varian baharu itu.
Berdasarkan maklumat awal, Dr Poonam menjangkakan global bakal menyaksikan kenaikan kes jangkitan Covid-19 memandangkan kadar penularan varian Omicron adalah sangat tinggi.
Tetapi jelasnya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin sedia ada yang tersedia ketika ini dapat memberi perlindungan dan menggelakkan kematian.
Sementara itu, mengenai perlaksanaan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara dunia, beliau menjelaskan perlaksanaan itu tidak akan menghalang virus tersebut untuk menular merentasi negara.
Sebaliknya, ia akan hanya menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian penduduk di sesebuah negara.
“Walaupun berkesan, tetapi ia adalah tindakan yang sangat merugikan dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir,” jelasnya lagi.