Semakin banyak negara dunia kini mengenakan sekatan dan larangan ke atas lapan negara di rantau Afrika susulan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron, yang mula dikesan di Afrika Selatan 24 November lalu yang kini turut menular di Eropah.
Lapan negara di rantau Afrika yang dikenakan sekatan perjalanan ialah Afrika Selatan; Btoswana; Eswatini; Malawi; Mozambique; Namibia; Zimbabwe dan Lesotho.
United Kingdom (UK) dengan serta-merta meletakkan Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Botswana, Eswatini dan Zimbabwe ke dalam senarai merah negara yang paling berisiko sebaik sahaja Omocron dikesan.
Manakala, Kesatuan Eropah (EU) pula mengumumkan pada 26 November lalu dengan menyekat penerbangan dari negara berkenaan.
Sehingga kini antara negara yang mengenakan sekatan ke atas rantau Afrika ialah Amerika Syarikat (AS); Jerman; Angola; Australia; Emiriah Arab Bersatu; Filipina; Perancis; India; Thailand; Belanda; UK; Iran; Israel; Itali; Jepun; Kanada; Qatar; Kuwait; Malta; Pakistan; Indonesia; Sudan; Arab Saudi; Turki; dan Oman.
Pada masa sama beberapa negara Afrika turut mengenakan sekatan dan menutup sempadan mereka dengan lapan negara berkenaan.
Angola mengenakan sekatan ke atas tujuh daripada negara berkenaan bagi mengekang penularan carian baharu itu.
Sudan turut melarang kemasukan pelancong dari Afrika Selatan, manakala penerbangan dari dan ke Zimbabwe, Botswana, Lesotho, Namibia serta Rwanda digantung buat sementara waktu.
Sementara itu, Kesatuan Afrika mengkritik larangan perjalanan ke atas negara-negara Afrika manakala Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata sekatan itu “secara saintifiknya adalah tidak wajar.” – Agensi