United Kingdom (UK) mengesahkan akan menyekat kemasukan pengembara dari enam negara di Afrika Selatan selepas varian baharu Covid-19 dikesan dengan jumlah mutasi yang tinggi.
Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid memaklumkan penemuan awal yang didapati oleh pihaknya mengenal pasti varian ini mungkin lebih mudah menular berbanding varian Delta dan jenis vaksin yang ada sekarang mungkin kurang berkesan terhadapnya.
Jelasnya, varian yang dikaitkan dengan lonjakan kes di Afrika Selatan itu turut dikesan dalam kalangan pengembara dari negara itu di Botswana dan Hong Kong, dengan 59 kes dikenal pasti tetapi masih belum dikesan di Britain.
Sekumpulan saintis di British sangat peka dengan isu itu dan menyekat semua penerbangan dari Afrika Selatan, Namibia, Lesotho, Eswatini, Zimbabwe dan Botswana mulai hari ini sebagai tindakan berjaga-jaga.
“Kami akan mewajibkan semua pengembara dari negara berkenaan yang tiba jam 4 pagi (waktu tempatan) Ahad ini untuk menjalani kuarantin di hotel.
“Bagi sesiapa yang tiba sebelum Ahad ini, mereka juga perlu melakukan kuarantin kendiri di rumah dan menjalani ujian saringan PCR pada hari kedua dan kelapan.
“Manakala bagi mereka yang tiba dari salah satu negara itu dalam tempoh 10 hari lepas juga akan diminta melakukan ujian PCR,” jelasnya.
Sebelum ini, Britain merupakan negara yang teruk terjejas akibat Covid-19 dengan 144,000 kematian dilaporkan sejak bermulanya pandemik ini awal tahun lalu.
Semalam dalam tempoh 24 jam, kes positif di negara itu kekal tinggi dengan lebih 47,000 kes direkodkan walaupun hampir 80 peratus penduduknya berumur 12 tahun dan ke atas sudah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin.
Sementara itu, hampir 29 peratus penduduknya juga sudah menerima suntikan dos penggalak sebagai inisiatif kerajaan untuk mengurangkan tekanan perkhidmatan kesihatan yang berisiko terkesan ketika musim sejuk.
Kerajaan Britain sebelum ini dikritik hebat kerana peraturan perjalanan dan kuarantin sebelum pandemik ini, apabila ia membuka sempadannya kepada pelancong asing walaupun kadar jangkitan meningkat.