Data menunjukkan Amerika Syarikat (AS) sudah meluluskan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 900,000 kanak-kanak berumur antara lima ke 11 tahun.
Program suntikan kepada golongan itu akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu lagi, selepas pihak Pfizer memberikan kelulusan untuk menyuntik golongan terbabit.
Penyelaras Covid-19 di Rumah Putih, Jeff Zeints memaklumkan hampir 700,000 lagi kanak-kanak dalam kalangan umur tersebut sudah mendapat janji temu di farmasi.
“Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan,” jelasnya.
Menurut data perangkaan, AS mempunyai lebih 28 juta orang kanak-kanak dalam kelompok umur dari lima hingga 11 tahun.
Suntikan vaksin kepada golongan itu akan diberikan di farmasi, pejabat pakar kanak-kanak, hospital kanak-kanak dan tempat tertentu yang dikhaskan.
Secara keseluruhan, lebih 20,000 lokasi sudah ditetapkan untuk diberikan suntikan pelalian Covid-19 kepada kanak-kanak menggunakan vaksin jenis Pfizer setelah diluluskan penggunaannya pada minggu lalu.
Golongan itu akan menerima dua dos suntikan, dengan selang tempoh tiga minggu, manakala setiap dos mengandungi 10 mikrogram, berbanding 30 mikrogram yang diberikan kepada individu dewasa.
“Walaupun golongan kanak-kanak lebih berdaya tahan kepada jangkitan virus itu berbanding golongan dewasa, namun mereka masih berdepan dengan risiko jangkitan,” kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Rochelle Walensky.
Sehingga semalam, jangkitan Covid-19 di AS menunjukkan pola mendatar pada kadar 73,000 kes sehari.
Namun begitu, pihak pakar tetap bimbang akan risiko terjadinya gelombang baharu akibat penularan yang bakal tercetus pada musim sejuk melibatkan beberapa wilayah dengan kadar liputan vaksinasi rendah.