Indonesia sedang melakukan persediaan bagi menghadapi kebarangkalian lonjakan jangkitan Covid-19 apabila dijangka lebih 20 juta orang akan melakukan pergerakan pada musim cuti hujung tahun, khususnya di Pulau Jawa dan Bali.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Panjaitan berkata ujian saringan akan diwajibkan kepada pengembara bagi semua pengangkutan awam.
Sebelum ini hanya pengembara yang menggunakan pesawat diwajib mengemukakan keputusan ujian saringan PCR negatif sebelum memulakan perjalanan ke Indonesia.
Restoran juga harus mematuhi protokol kesihatan untuk membantu meminimumkan penyebaran virus, katanya.
Ini berikutan laporan bahawa beberapa restoran telah membenarkan orang ramai masuk tanpa log masuk ke aplikasi pengesanan kerajaan, sambil melarang gambar atau video dirakam bagi mengelak pemeriksaan awam, kata Panjaitan.
Ini selaras dengan beberapa laporan yang diterima terdapat orang awam yang masuk ke premis tersebut tanpa mendaftar di aplikasi pengesanan kerajaan.
“Kita tidak boleh berasa selesa hari ini kerana kes jangkitan semakin rendah dan perlu sentiasa berjaga-jaga,” katanya sambil menjelaskan kadar vaksinasi di republik itu masih rendah berbanding negara jiran lain seperti Singapura dan Malaysia.
Indonesia katanya perlu dalam keadaan berjaga-jaga kerana peningkatan kes Covid-19 sebelum ini tersebar melalui musim cuti panjang.
Pada pertengahan tahun ini, ia menyaksikan gelombang jangkitan paling teruk selepas berjuta-juta orang bercuti dan berkumpul bersama keluarga untuk menyambut Aidilfitri pada Mei lalu, mendorong penularan varian Delta ke seluruh republik itu.
Sebelum ini, jangkitan Covid-19 di negara itu sudah menurun dengan ketara selepas kerajaan memperluaskan ujian saringan dan melaksanakan semula penutupan yang ketat di seluruh wilayah.
Semalam, Indonesia merekodkan 460 kes baharu, dimana jangkitan terendah sejak 26 Mei tahun lalu dan kematian harian juga sudah menunjukkan penurunan ke paras terendah dalam tempoh setahun.
“Pihak kami boleh melawan gelombang baharu ini dengan mengawal angka kes dan mampu mengekalkannya di bawah 2,700 kes sehari,” jelas Pandjaitan.
Indonesia juga akan memberi lebih tumpuan kepada program vaksinasi warga emas, kerana golongan ini lebih terdedah kepada gejala teruk atau meninggal dunia sekiranya dijangkiti.
Menjelang akhir tahun ini, republik itu sudah menetapkan sasaran untuk memberikan lebih 168 juta dos pertama vaksin, manakala lebihan 123 juta penduduk bakal divaksin sepenuhnya.
Menurut Bloomberg Vaccine Tracker, sehingga kini, hanya satu perempat daripada 270 juta populasi di Indonesia sudah divaksin sepenuhnya, berbanding negara jiran lain seperti Malaysia, hampir 73 peratus dari rakyatnya sudah divaksin sepenuhnya dan 82 peratus rakyat Singapura pula sudah lengkap divaksin. – Agensi