Jumlah pesakit Covid-19 di Singapura semakin melonjak secara mendadak sehingga memberi kesan kepada sistem kesihatan, khususnya apabila katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital kini hanya berbaki 60 sahaja.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) memaklumkan sejak semalam, kadar penggunaan katil di ICU secara kumulatifnya berada pada tahap 83.6 peratus, meningkat kira-kira dua pertiga daripada minggu lalu.
Sementara itu, daripada 306 katil di ICU, 64 daripadanya terpaksa digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kira-kira 107 daripadanya pula digunakan untuk memantau keadaan pesakit yang tidak stabil dan 135 katil lagi digunakan untuk merawat pesakit bukan daripada jangkitan Covid-19.
Pihak berkuasa republik itu turut memberi amaran tentang risiko terjadinya bebanan penjagaan kesihatan, di samping kapasiti katil di ICU masih diawasi dengan teliti.
Sebelum ini, Kerajaan Singapura merancang melonggarkan kawalan sempadan bagi membenarkan kemasukan pelancong divaksin lengkap dari beberapa negara, namun terpaksa menyambung semula sekatan ketat sehingga akhir November ini kerana lonjakan kes di republik itu, termasuk mengehadkan perhimpunan sosial hanya bagi dua orang.
Pegawai bertugas memaklumkan, peraturan sekatan hanya akan dilonggarkan apabila keadaan di hospital sudah stabil.
“Kakitangan penjagaan kesihatan dan hospital kami terus mengalami bebanan kerja yang luar biasa,” jelas Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung minggu lalu.
Selain itu, Ong memaklumkan kapasiti katil di ICU akan ditambah sekiranya diperlukan, walaupun ia dijangka akan menjejaskan perkhidmatan biasa dan rawatan perubatan di hospital.
Jelasnya, secara purata pesakit di ICU akan dirawat di hospital dalam tempoh 15 hari hingga sebulan.
Singapura semalam melaporkan 3,174 kes dan 14 kematian akibat jangkitan Covid-19. – Agensi