Satu kumpulan Muslim Amerika hari ini menyaman Facebook Inc kerana syarikat itu gagal melaksanakan sikap kesederhanaan yang menjadi dasar mereka, sehingga menyebabkan meningkatnya gelombang anti-Muslim.
Saman itu difailkan di sebuah mahkamah di Washington dengan mendakwa Facebook gagal memadam kandungan yang melanggar peraturannya sendiri berkaitan ucapan kebencian, walaupun memberi jamnian kepada kerajaan bahawa mereka melaksanakan polisi itu.
Facebook, Twitter dan YouTube secara umumnya boleh mengelak tuntutan undang-undang yang menyalahkan mereka kerana tidak memadam kandungan yang menyalahi undang-undang.
Undang-undang persekutuan 1996 melindungi platform internet daripada dipertanggungjawabkan terhadap kandungan yang disiarkan pengguna.
Tetapi dalam kes ini, Muslim Advocates mendakwa Facebook melanggar peraturan kerana membiarkan kandungan yang tidak memenuhi standard dan menipu pelanggan.
“Setiap hari, orang ramai disuapkan dengan kandungan berbahaya yang melanggar dasar Facebook sendiri mengenai ucapan kebencian, buli, gangguan, organisasi berbahaya, dan keganasan.
“Serangan kebencian dan anti-Muslim lebih kerap berlaku,” kata Muslim Advocates dalam saman itu.
Pertubuhan itu juga menyerahkan senarai 26 halaman di dalam Facebook bagi tahun 2017 yang melanggar piawaian syarikat itu. Sehingga kini, 18 daripada 26 halaman Facebook kumpulan itu masih wujud.
Sementara itu jurucakap Facebook dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu tidak membenarkan ucapan kebencian dan biasanya bekerjasama dengan pakar bagi memastikan laman itu selamat untuk semua orang.
Katanya, Facebook melabur dalam teknologi AI untuk mengesan dan memadam ucapan kebencian di dalam platformnya. – Agensi