Hampir 100 wanita Mesir menjadi kumpulan pertama wanita mengangkat sumpah menyertai Majlis Kehakiman negara itu, hari ini.
Daripada jumlah itu 48 hakim penolong kaunselor dan 50 lagi naib kaunselor.
Mac lalu, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi mengarahkan perlantikan hakim wanita dalam majlis kehakiman dan bahagian pendakwa raya awam, iaitu dua badan kehakiman yang sebelum ini hanya dikuasai hakim lelaki, sejajar dengan persediaan negara itu untuk memperkasakan golongan wanita dalam sektor kehakiman.
“Perlantikan itu adalah hadiah yang sangat bermakna untuk kaum wanita di Mesir,” kata Naib Presiden Majlis Kehakiman Mesir, Taha Karsoua.
Menurutnya, hakim wanita itu dilantik untuk menjalankan tugas yang sama dengan hakim lelaki dalam mengadili dan menyelesaikan pertikaian bagi semua isu di mahkamah.
Majlis Kehakiman ditubuhkan pada 1946, merupakan badan bebas yang secara eksklusif mengadili pertikaian pentadbiran, kes dan rayuan displin, serta isu berkaitan dengan keputusannya.
“Saya sangat berbangga dilantik sebagai hakim di Majlis Kehakiman ini. Ia menjadi sebahagian daripada badan pentadbiran kehakiman, dan merupakan satu penghormatan,” kata Reem Moussa, hakim baharu yang mengangkat sumpah.
Jelasnya, sebelum ini sangat mustahil bagi seorang wanita untuk menjadi hakim di dewan ini kerana lebih dari 75 tahun ianya dipegang oleh hakim lelaki.
“Hari ini adalah hari kemenangan bagi wanita Mesir. Perlaksanaan ini menetapkan kesamarataan antara lelaki dan wanita dalam sektor perkerjaan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Kebangsaan Mesir untuk Wanita (NCW) mengalu-alukan perlantikan hakim wanita menganggotai Majlis Kehakiman dan berharap ini merupakan usaha untuk menunjukkan keinginan politik memperkasakan kaum wanita.
“Impian golongan wanita sebelum ini akhirnya menjadi realiti, saya sangat gembira dapat melihat detik bersejarah ini apabila martabat kaum wanita di Mesir diangkat,” kata ketua NCW, Maya Mursi.