Lebih baik sekiranya orang ramai membeli kit ujian kendiri Covid-19 di farmasi berbanding membuat pembelian dalam talian, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menteri Kesihata itu berkata menerusi pembelian di farmasi, orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dari ahli farmasi berhubung kaedah penggunaan, penyimpanan dan pelupusan kit berkenaan.
“Ketika kita di landasan untuk bersiap sedia hidup dengan virus, marilah kita terus belajar antara satu sama lain, bekerjasama dan membimbing rakyat Malaysia ke fasa endemik.
“Kit ujian saringan kendiri adalah perkara mustahak yang mana perlu sama pembabitan komuniti farmasi. Bersama dengan fasiliti penjagaan kesihatan lain, farmasi adalah saluran sewajarnya untuk membeli kit ujian kendiri,” katanya dipetik laporan media.
Khairy terdahulu dijemput ke pelancaran webinar bertajuk Reinvent Pharmacy Biz: Adapt Beyond the Crisis, bersempena dengan sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia 2021, hari ini.
Tegasnya lagi ahli farmasi juga boleh memberikan nasihat dan kaunseling sebaik keputusan ujian diperoleh, malah boleh menjelaskan kepada pembeli mengenai perbezaan antara jenama kit berkenaan.
Dalam ucapannya Khairy turut menyentuh peranan komuniti ahli farmasi yang dianggap mustahak dalam bersama-sama kerajaan memerangi Covid-19.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, golongan berkenaan adalah titik utama aspek penjagaan dan ‘penjaga pintu’ sistem penjagaan kesihatan negara.
“Antara petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Kesihatan dalam tempoh 100 hari adalah memberi fokus terhadap persediaan rakyat Malaysia untuk beralih ke fasa endemik. Kuncinya adalah perlunya libat urus dengan pemegang taruh dan bekerja bersama-sama dengan komuniti ahli farmasi,” ujarnya lagi.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menasihati orang ramai supaya tidak membeli kit ujian RTK-ab dan RTK-ag yang dijual secara dalam talian atau menerusi media sosial untuk kegunaan sendiri.
KKM menjelaskan melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP), kedua-dua jenis kit ujian pengesanan Covid-19 itu dikawal di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan memerlukan kebenaran mengimport serta membekal.