Negeri Victoria di Australia melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 hari ini adalah yang tertinggi dalam tempoh setahun dengan merekodkan 514 kes baharu, berbanding jangkitan tertinggi tahun lalu sebanyak 473 kes.
Angka itu diperoleh ketika vaksinasi dalam kalangan penduduknya terus meningkat, sekali gus memberi harapan untuk mencapai 70 peratus individu dewasa yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, bagi membolehkan perintah sekatan dimansuhkan.
Victoria yang menempatkan bandar terbesarnya, Melbourne, dan Sydney di negeri New South Wales, menggerakkan program vaksinasi secara besar-besaran ketika Australia berdepan kekangan untuk mencegah penularan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang didominasi varian Delta, menyebabkan hampir separuh daripada25 juta populasinya diletakkan di bawah perintah duduk di rumah.
Negeri itu menjangkakan mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasanya menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan, pada Jumaat, sebelum beberapa sekatan di Melbourne ditarik balik.
Melbourne dengan kira-kira lima juta populasi diletakkan buat kali keenam perintah sekatan dan penutupan, paling banyak berbanding bandar-bandar lain di Australia sejak pandemik Covid-19 menular tahun lalu.
Kadar jangkitan di Australia adalah antara yang terendah berbanding kebanyakan negara lain, apabila hanya merekodkan 80,000 kes positif dan 1,128 kematian.
Ini mendorong kerajaan untuk melonggarkan kebanyakan sekatan, dijangka bulan depan, setelah lebih ramai penduduknya menerima suntikan vaksin.
Menerusi pelan pembukaan semula negara itu, kerajaan Persekutuan menggesa semua negeri dan wilayah untuk mula ‘hidup bersama virus’ apabila sasaran 70 peratus individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin, manakala 80 peratus lagi melengkapkan dos masing-masing.
Setakat ini, sekitar 44 peratus daripada individu berusia 16 tahun ke atas telah menerima suntikan lengkap, manakala 69 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.
Pegawai kesihatan di New South Wales, pusat pandemik Covid-19 di Australia pula meminta penduduknya supaya mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setelah mereka melaporkan 12 kematian baharu akibat virus tersebut, dengan 10 daripadanya adalah individu yang tidak diberi vaksin.
Sebanyak 1,351 kes dikesan di negeri itu, majoritinya di Sydney. Peritah berkurung waktu malam di Sydney 12 – pinggir bandar kota itu – berakhir hari ini. – Reuters