Turki mengutuk Greece berikutan tindakan pengawal pantai menolak bot dinaiki sekumpulan pelarian, termasuk kanak-kanak dan wanita, yang cuba memasuki negara itu di Laut Aegean.
Tindakan pengawal pantai Greece itu sempat dirakam pesawat tanpa pemandu (UAV) terbaharu Turki Jumaat lalu.
Rakaman itu menunjukkan pengawal pantai Greece secara haram menolak bot dinaiki pelarian yang mencari suaka di Greece ke arah Turki, kata pegawai pertahanan yang enggan disiarkan namanya.
Terdapat antara 20 hingga 25 pelarian, termasuk kanak-kanak, berada di dalam bot getah dan cuba menyeberangi Laut Aegean menuju ke Pulau Rhodes di Greece. Bot itu bagaimanapun ditolak semula ke perairan Turki.
Dalam rakaman berikutnya, pengawal pantai Turki dilihat tiba dengan dua bot untuk menyelamatkan pelarian berkenaan dan membawa mereka ke pantai.
Sejak beberapa bulan lalu terdapat beberapa aduan yang mengatakan pengawal pantai Greece menolak bot pelarian yang cuba memasuki negara itu sehingga menimbulkan bahaya kepada penumpangnya. – Agensi