Pasukan keselamatan Jordan menangkap beberapa orang kenamaan berprofil tinggi (VVIP) ketika siasatan terperinci dilakukan selepas muncul rancangan yang hendak menganggu-gugat pentadbiran Raja Abdullah II.
Serentak itu, pihak keselamatan juga memberi amaran kepada bekas Putera Mahkota Jordan, Hamzah bin Al Hussein, supaya tidak melakukan apa-apa yang boleh mengancam kestabilan negara itu.
Hamzah adalah adik tiri kepada Raja Abdullah II, diangkat sebagai putera mahkota selepas kematian ayah mereka Raja Hussein, tetapi kemudian dilucutkan jawatan.
Dalam tindakan tegas semalam, pasukan keselamatan Jordan dilapor menangkap beberapa kerabat diraja, bekas menteri, dan bekas ketua hakim, lapor agensi berita Petra yang memetik sumber tentera.
Bagaimanapun, pegawai itu menafikan Putera Hamzah ditangkap, tetapi dalam rakaman video yang dihantar kepada peguamnya, Putera Hamzah berkata, beliau dikenakan tahanan rumah dan tidak dibenar berhubung dengan sesiapa.
Beliau sebelum ini, dilaporkan menghadiri satu mesyuarat yang kemudian membuat resolusi yang boleh mengancam kestabilan Raja Abdullah II dan Jordan.
Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan negara-negara arab memberi sokongan kepada Raja Abdullah II untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana perlakuan yang boleh menjejaskan Jordan. – Agensi