Presiden Filipina, Rodrigo Duterte melanjutkan lagi perintah sekatan dan penutupan di Manila dan beberapa wilayah lain sehingga 7 September ini kerana jumlah jangkitan harian Covid-19 masih tinggi.
Filipina sebelum ini dikategorikan sebagai antara negara terburuk di Asia yang terkesan akibat penularan Covid-19 mengalami lonjakan kes baharu susulan penularan varian Delta dalam kalangan penduduknya.
“Pihak kami menjangkakan jumlah kes baharu akan terus meningkat dalam beberapa hari akan datang,” kata Setiausaha Kesihatan, Maria Rosario Vergeire dalam satu taklimat umum.
Kementerian Kesihatan Filipina semalam melaporkan 19,441 kes baharu jangkitan Covid-19, rekod tertinggi buat kali ketiga dalam sembilan hari berturut-turut, menjadikan keseluruhan kes positif di negara itu hampir 1.93 juta, manakala jumlah kematian meninggkat kepada 33,008 pesakit.
Data kerajaan juga menunjukkan sudah hampir empat bulan kapasiti hospital berada pada tahap kritikal di mana hampir 142,679 kes aktif yang telah direkodkan sehingga kini.
“Peningkatan program vaksinasi, mempercepatkan ujian saringan dan proses kuarantin serta kepatuhan orang ramai terhadap standard kesihatan yang ditetapkan sangat membantu pihak dalam menghentikan penularan wabak ini,” kata Vergeire.
Walaupun, perintah sekatan itu dilanjutkan, beberapa kelonggaran diberikan, di mana pusat perniagaan dibenar beroperasi dengan 50 peratus kehadiran pelanggan.
Setakat ini, hampir sembilan wilayah dan enam bandar utama di Filipina merekodkan lonjakan kes dan pengunaan kapasiti kesihatan yang sangat tinggi ketika negara itu melaksanakan sekatan penutupan fasa kedua ini. – Agensi