Demam pilihan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal tiba. Walaupun mandat kerajaan sekarang hanya berakhir pada Julai 2023, Parlimen dijangka akan dibubarkan dalam tempoh terdekat berdasarkan trend dan beberapa petunjuk semasa.
PRU15 dilihat menarik dan menimbulkan banyak spekulasi kerana melibatkan 7.8 juta pengundi baharu, di mana 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun. Angka ini mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Sungguhpun Akta Dewasa 1971 menyatakan usia 18 tahun adalah usia dewasa yang matang, namun terdapat kebimbangan bahawa golongan muda ini mengundi bukan berdasarkan kefahaman yang betul sebaliknya dipengaruhi oleh orang lain untuk mendapatkan undi.
Oleh itu, usaha Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Pelajar sebagai platform pelaksanaan pendidikan pengundi kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) amatlah dialu-alukan dan tepat pada masanya.
Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, kemenangan seseorang calon ditentukan undi majoriti termasuk majoriti mudah. Oleh itu, para pengundi seharusnya menggunakan kuasa undi mereka dengan memilih pemimpin yang dirasakan benar-benar layak.
Namun, orang muda sering dikaitkan dengan ciri-ciri seperti mudah terikut-ikut, tidak tetap pendirian dan mudah dieksploitasi. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana mereka belum cukup matang untuk menilai sesuatu berdasarkan ilmu dan pengalaman.
Oleh itu, pengundi muda perlu dibimbing agar mereka faham peranan pemimpin dan ciri-ciri seorang pemimpin yang baik agar dapat membuat pemilihan yang tepat.
Pemimpin adalah individu yang penting dalam urusan sosial dan kenegaraan kerana kemaslahatan ummah berada di tangan mereka. Atas sebab ini maka kepemimpinan merupakan satu persoalan yang serius dalam Islam. Buktinya, mentaati pemimpin dalam perkara kebaikan adalah wajib.
Dalam falsafah politik Islam, kuasa tertinggi yang mutlak adalah milik Allah SWT. Manakala, kepimpinan adalah amanah ketuhanan yang merangkumi urusan dunia dan akhirat dengan dwiperanan utama iaitu memelihara agama dan mengurus dunia.
Justeru, pemimpin perlu dipimpin oleh ilmu, iman dan amal untuk menjadikan kepimpinannya sebagai alat yang aktif yang dapat merealisasikan tujuan yang hendak dicapai iaitu membela agama dan menguruskan dunia.
Memandangkan tugas dan fungsi yang penting ini, maka para ulama meletakkan beberapa syarat ketat yang mesti dipenuhi oleh mereka yang memegang tampuk kepimpinan negara seperti mukalaf (orang yang cukup umur yang wajib melaksanakan perintah Allah SWT), lelaki, adil, memiliki ilmu pengetahuan, bijak berpolitik, keutamaan diberikan kepada kaum majoriti, merdeka, sempurna pancaindera, beriman, berani dan taat kepada Allah SWT.
Tujuannya ialah supaya pemimpin yang dilantik itu bukan sekadar popular tetapi mestilah seorang yang berwibawa dan berintegriti, boleh menjalankan tugas dengan berkesan dan bebas rasuah.
Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi maka pemimpin itu seorang yang lemah dan kepimpinannya akan dipertikaikan. Keadaan ini tentulah tidak wajar bagi seorang pemimpin tertinggi negara.
Kesimpulannya, sebagai tanda sayangkan negara, pilihlah pemimpin berdasarkan kewibawaannya, beriman, berintegriti dan berilmu pengetahuan yang luas.
Prof Madya Dr Azman Yusof,
Universiti Kuala Lumpur Kampus Cawangan Institut Teknologi Kimia & Biokejuruteraan Malaysia (UniKL MICET).
Artikel ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Agenda Daily. Artikel ini disiarkan terlebih dahulu di dalam akhbar Utusan pada 17 September 2022.