Mufti bukan sahaja memiliki authoriti, malah mempunyai kepakaran di dalam bidangnya. Ia adalah satu institusi yang sangat penting di dalam struktur pelaksanaan dan rujukan syariat Islam.
Tidak mengapa untuk berbeza pendapat dengan mufti jika di sana anda mempunyai hujjah bersandar nas yang jelas dan benar.
Namun menidakkannya serta mempersenda dengan perilaku dan perkataan yang tidak beradab adalah suatu yang keterlaluan dan dicela pada syara’.
Mufti adalah pakar dalam bidang syariah atau agama Islam. Selayaknya ia dihormati. Sebagaimana kita menghormati urusan kesihatan apabila ia diungkap oleh doktor pakar. Kita menghormati urusan kewangan apabila ia diungkap oleh pakar ekonomi.
Persoalannya kenapa kenyataan mufti tidak dinilai sekurang-kurangnya dengan beradab, sekalipun tidak mahu menerima pendapatnya.
Lebih malang, yang lantang mempertikai dengan nada yang lancang dan tidak manis adalah daripada kalangan mereka yang tidak mendalami ilmu agama.
Selayaknya, jika mereka gagal memahami sesuatu kenyataan yang melibatkan hukum dalam sesuatu isu, hendaklah mengambil sikap bertanya, merujuk kembali kepada pejabat mufti.
Kalau pun mahu berkhilaf dengan nas Islam yang sangat luas ini, biarlah ahli ilmu yang membahaskannya dalam kerangka adab ikhtilaf yang telah didisiplinkan dalam fiqh Islam.
Apakah negara kita kini semakin menjunam indeks akhlak dan adab terhadap institusi agama?
Saya ulangi sekali lagi, tiada menjadi kesalahan untuk berbeza pendapat dengan mana – mana ulamak atau mufti, andai anda mempunyai hujjah yang bersandarkan nas yang jelas dan benar.
Namun khilaf lah dalam suasana yang harmoni, bukan memencak dan mencemuh laksana para juhala’ yang tidak punya hidayah.
Nasrudin Hassan Tantawi