
Suruhanjaya Pilihan Raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai kesalahan dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata ia termasuk berkenaan penyalahgunaan aset dan jentera untuk tujuan berkempen daripada mana-mana pihak seperti yang didakwa oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini, lapor Bernama.
“Alhamdulillah tidak ada aduan yang tidak sepatutnya. Kami juga tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan,” katanya selepas meninjau persiapan Pusat Penjumlahan Undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini hari ini.
Pada Rabu lalu, Tuan Ibrahim meminta SPR menyiasat jentera Barisan Nasional (BN) kerana didakwa menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri selain memberi insentif kepada rakyat sepanjang tempoh kempen PRK Pelangai.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam dan memaklumkan BN Pahang bersedia untuk disiasat SPR.
Mengulas tentang tinjuan yang dilakukannya hari ini, Abdul Ghani berkata persiapan petugas di Pusat Penjumlahan Undi serta semua sembilan Pusat Mengundi serta 30 saluran berjalan lancar dan SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Pelangai boleh mencecah 75 peratus.
“Memandangkan kawasan Pelangai tidak begitu jauh dan besar, saya jangka dalam 9 malam esok kita akan memperoleh keputusan (PRK Pelangai),” katanya.
Sementara itu, Abdul Ghani dalam kenyataan yang dikeluarkan SPR, mengingatkan semua pihak yang bertanding supaya menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen, aktiviti merayu undi di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial sebaik tempoh kempen tamat pada pukul 11.59 malam ini.
“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi supaya tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir, sebaliknya digalak supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan sepertimana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Bagaimanapun, Abdul Ghani berkata pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi yang diwartakan.
“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada pada Sabtu ini sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas, dan ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhashi.