Thailand tangguh pembukaan semula Bangkok sehingga 15 Oktober

September 17, 2021 · Dunia

Rancangan Thailand untuk membuka semula Bangkok kepada pelancong antarabangsa yang telah divaksin sepenuhnya pada 1 Oktober ini terpaksa ditangguhkan selama dua minggu sehingga 15 Oktober ini.

Tindakan itu diambil setelah kadar vaksinasi yang disasarkan kerajaan masih belum mencapai tahap yang dikehendaki bagi membolehkan pembukaan semula destinasi yang mesra dan selamat untuk pelancong.

Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Phiphat Ratchakitprakarn berkata sehingga kini hanya sekitar 37 peratus penduduk Bangkok yang lengkap divaksin dan jumlah ini masih tidak mencapai tahap sasaran yang diinginkan iaitu sebanyak 70 peratus.

“Lebihan 33 peratus lagi penduduk ibu kota itu dijadualkan menerima vaksin dos kedua AstraZeneca selepas 8 ke 12 minggu daripada tarikh suntikan dos pertama,” katanya.

Keputusan penangguhan ini telah dipersetujui oleh Phiphat dan Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang ketika perbincangan mengenai pembukaan semula ibu kota itu dan empat wilayah lain termasuk Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai yang sepatutnya akan dibuka pada 1 Oktober ini.

Katanya, rancangan membuka semula destinasi pelancongan di beberapa wilayah di Thailand dibuat susulan kejayaan projek gelembung pelancongan ‘Phuket Sandbox’ dan ‘Samui Plus’.

Industri pelancongan ditumpukan di Bangkok setelah kebanyakan pelancong asing memilih mengunjungi kota raya itu sebelum melakukan perjalanan ke wilayah lain.

Phiphat berkata pihaknya akan melancarkan program perintis kepada pelancong yang tiba di Bangkok untuk kuarantin kendiri di ibu kota itu selama tujuh hari sebelum memulakan perjalanan ke lapan wilayah lain.

Lapan wilayah yang terlibat adalah Pattaya, Chiang Mai, Hua Hin, Cha-am, Phuket, Koh Samui, Krabi dan Phang Nga.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Siriraj, Prof Dr Prasit Watanapa mencadangkan agar penangguhan pembukaan semula Bangkok dilanjutkan sehingga 1 November kerana kadar vaksinasi di negara itu masih belum mencapai ‘tahap selamat’.

“Pihak kerajaan sepatutnya menangguhkan pembukaan itu selama satu bulan lagi untuk memastikan Thailand benar-benar bersedia untuk dibuka kembali kepada pelancong antarabangsa.

“Pengajaran dapat diambil dari program ‘Phuket Sandbox’, di mana orang yang telah menerima vaksin sepenuhnya masih boleh dijangkiti dan menyebarkan Covid-19. Saya juga ingin menegaskan supaya syarat kuarantin tetap dikekalkan buat sementara waktu ini,” katanya lagi.

Tambahnya, masih terlalu awal bagi Thailand untuk membuka kembali pintu kepada pelancong antarabangsa kerana 38 peratus penduduk negara itu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, dan hanya 18 peratus daripadanya telah lengkap dua suntikan vaksin.

Sementara itu, Thailand turut merancang memberi suntikan vaksin kepada hampir 4.35 juta pelajar yang berusia di antara 12 hingga 18 tahun sebelum pembukaan semula sekolah yang dijangka akan dibuka pada November ini.

Setiausaha Tetap Pendidikan, Supat Champathong memberitahu pemberian suntikan itu dijadualkan bermula pada Oktober ini dan suntikan kedua akan diberikan selepas tiga minggu daripada tarikh suntikan pertama.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand sekali lagi mencatatkan 13,897 kes baharu dan 188 kematian akibat Covid-19, menjadikan angka keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 1,434,237 dan 14,953 kematian sejak wabak ini mula menular awal tahun lalu. – Agensi

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular

Sorry. No data so far.

Lagi Dunia terkini
Konflik Gaza: Angka korban mangsa kekejaman Zionis meningkat 14,532 orang
November 23, 2023 · Dunia
Ancaman Israel guna senjata nuklear dikecam negara-negara Arab
November 6, 2023 · Dunia
Israel melakukan jenayah perang, dakwa Menteri Luar Jordan
November 6, 2023 · Dunia
Internet dan telefon tidak dapat diakses di utara Semenanjung Gaza: Laporan
October 30, 2023 · Dunia
Letupan bom dan insiden berbalas tembakan di Tak Bai
October 21, 2023 · Dunia
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok