
Individu berumur 70 tahun ke atas menunggu di kawasan pemerhatian setelah menerima suntikan di pusat vaksinasi di Singapura. - Gambar Reuters
Lonjakan kes baharu Covid-19 dalam kalangan komuniti tempatan di Singapura semakin membimbangkan, manakala tempoh antara dua dan empat minggu akan datang adalah penting sama ada jangkitan yang tinggi akan mencetuskan lebih banyak kes positif dan kematian.
Purata jumlah jangkitan harian meningkat daripada 76 kes dua minggu lalu kepada 288 kes minggu lalu, dan Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah itu akan meningkat melebihi 1,000, dengan lebih banyak kes dikesan menerusi ujian saringan yang diperhebatkan.
Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong berkata ramai yang bertanya apakah kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membuka kembali ekonomi walaupun kadar vaksinasi Singapura tinggi. Kira-kira 81 peratus penduduk negara itu telah divaksinasi sepenuhnya.
Kebimbangan ini timbul setelah Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Isnin lalu menggesa warga Singapura untuk mengurangkan aktiviti sosial yang tidak penting untuk dua minggu akan datang ketika kes Covid-19 melonjak.
“Walaupun kita memahami bahawa banyak yang memilih jalan lebih lurus melawan Covid-19, kita telah mengatakan sebelumnya bahawa kita mesti menjangkakan beberapa laluan berliku.
“Memandangkan virus yang tidak dapat diramalkan, kita harus bersiap sedia untuk mengubahsuai rancangan tatkala pelan itu terus berjalan,” katanya.
Katanya, Singapura akan terus meningkatkan pelaksanaan program vaksinasi selain mempercepatkan pemberian dos penggalak dan memperhebatkan ujian saringan.
Sebagai tindak balas terhadap peningkatan kes, Singapura akan mengubah cara pengesanan dan pengurusan pesakit Covid-19.
Negara itu akan memberi tumpuan kepada pengesanan kontak dan kuarantin ke atas kelompok besar dan persekitaran yang rentan seperti hospital, kerana jumlah jangkitan yang semakin meningkat menyukarkan petugas menangani setiap kes.
Sementara itu Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung berkata berdasarkan pengalaman negara lain menunjukkan gelombang jangkitan mengambil masa empat hingga lapan minggu untuk mencapai kemuncak sebelum jumlah kes akan semakin menurun.
“Singapura kini memasuki hari ke-18 – kira-kira dua dua setengah minggu – menuju gelombang semasa, kemungkinan akan menyaksikan kes meningkat secara pesat, berpotensi mencapai kemuncak sekitar 3,000 sebelum ia mulai stabil.
“Tetapi bagaimana ianya akan benar-benar terjadi bergantung kepada apa yang dilakukan oleh rakyat Singapura secara kolektif – termasuk sama ada mereka menjalani ujian secara meluas,” katanya. – Agensi