
Subvarian Omicron BF.7 menimbulkan kebimbangan penularan baharu Covid-19 di dunia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesan sub-varian baharu Omicron Covid-19, BA.2.75, di beberapa negara seperti India, kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
“Mengenai Covid-19, kes yang dilaporkan secara global telah meningkat hampir 30 peratus sejak dua minggu lalu. Empat daripada enam sub-rantau WHO menyaksikan kes meningkat pada minggu lalu,” kata Ghebreyesus pada taklimat akhbar hari ini.
“Di Eropah dan Amerika, BA.4 dan BA.5 memacu gelombang. Di negara seperti India, sub-varian baharu BA.2.75 juga telah dikesan, yang kami sedang pantau,” katanya.
Mengenai kemunculan potensi sub-varian Omicron BA.2.75, Ketua Saintis WHO Soumya Swaminathan menerusi video yang disiarkan di Twitter memberitahu ianya pertama kali dilaporkan di India dan kemudian kira-kira 10 negara lain.
Beliau berkata masih terdapat jujukan terhad bagi sub-varian untuk dianalisis, “tetapi sub-varian ini nampaknya mempunyai beberapa mutasi pada domain pengikat reseptor protein spike.
“Jadi jelas sekali, itu adalah bahagian penting virus yang melekat pada reseptor manusia. Jadi kita perlu memerhatikannya. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada sub-varian ini mempunyai sifat pengelakan imun tambahan atau sememangnya lebih teruk secara klinikal.
“Kita tidak tahu itu. Jadi kita perlu tunggu dan lihat,” katanya.
Beliau menambah bahawa WHO sedang menjejaki sub-varian itu dan Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Evolusi Virus SARS-CoV-2 (TAG-VE) sentiasa melihat data dari seluruh dunia.
“Dan pada bila-bila masa jika terdapat kemunculan virus yang kelihatan sangat berbeza daripada yang sebelumnya, cukup untuk dipanggil varian membimbangkan yang berasingan, maka jawatankuasa akan melakukannya.”
Kemas kini epidemiologi mingguan WHO mengenai Covid-19, yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan pada peringkat global, jumlah kes mingguan baharu meningkat untuk minggu keempat berturut-turut selepas trend menurun sejak kemuncak terakhir pada Mac 2022.
Sehingga 3 Julai 2022, lebih 546 juta kes Covid-19 yang disahkan dan lebih 6.3 juta kematian telah dilaporkan di seluruh dunia.
Kemas kini Covid mengatakan bahawa antara subvarian Omicron, perkadaran BA.5 dan BA.4 terus meningkat. BA.5 telah dikesan di 83 negara.
Jumlah kes baharu tertinggi dilaporkan dari India (112,456 kes baharu, peningkatan 21 peratus), Thailand (15,950, peningkatan 6 peratus) dan Bangladesh (13,516 kes baharu, peningkatan 53 peratus).
Pengurus Insiden WHO Covid-19 Abdi Mahamud berkata sekarang bukan masanya untuk mengisytiharkan bahawa wabak itu sudah berakhir.
“Kami masih berada di tengah-tengah pandemik, dan virus mempunyai banyak kuasa yang tinggal. Jadi sama ada BA.4 atau BA.5 atau BA.2.75, virus itu akan berterusan,” katanya.
Oleh itu, orang ramai dan masyarakat dinasihatkan terus memakai pelitup muka, dan mengelakkan kawasan sesak serta paling terdedah dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. – Agensi