
Orang ramai menyaksikan keranda Ratu Elizabeth II dibawa ke Lapangan Terbang Edinburgh pada Selasa. - Gambar AP
Keranda Ratu Elizabeth II tiba di Istana Buckingham, London, selepas diterbangkan pada Selasa dari Edinburgh, Scotland, dengan pesawat pengangkut C-17 Globemaster.
Keluarga mendiang menerima keranda itu semasa ketibaannya di istana.
Puteri Anne menemani jasad Ratu Elizabeth dalam penerbangan terakhirnya. Anak perempuan tunggal mendiang Raja itu, Anne juga merupakan satu-satunya daripada empat anak mendiang yang mengiringi kerandanya dari Istana Balmoral ke Edinburgh pada Isnin.
Dalam satu kenyataan, Anne berkata ia adalah “satu penghormatan dan keistimewaan” untuk menemani ibunya dalam perjalanan terakhirnya.
Ratu Elizabeth, Raja paling lama memerintah dalam sejarah British, meninggal dunia pada Khamis dalam usia 96 tahun.
Putera Harry dan Putera William akan berjalan bersama pada Rabu dalam perarakan membawa keranda Ratu Elizabeth II ke Westminster Hall, di mana dia akan ditempatkan di situ sehingga upacara pengebumian pada Isnin depan.
Perarakan itu akan meninggalkan Istana Buckingham pada jam 2.22 petang. dan tiba di Westminster pada 3 petang.
Meghan, Duchess of Sussex (isteri Putera Harry), Permaisuri Camila (isteri Raja Charles III), dan Princess of Wales Catherine (isteri Putera William), akan bergerak ke Westminister Hall dengan menaiki kereta.
Terdahulu, orang ramai yang berkabung telah beratur di luar Gereja St Giles di Edinburgh pada petang Isnin untuk mengambil giliran mereka memberi penghormatan terakhir.
Kerajaan Scotland berkata lebih daripada 26,000 orang bergerak melepasi keranda Ratu Elizabeth.
Sementara itu, pada hari sama Raja Charles III mengadakan lawatan rasmi ke Ireland Utara sebagai Raja baharu United Kingdom, mengikut jejak ibunya, yang dilihat sebagai simbol kesatuan dan merupakan tokoh penting semasa proses damai Ireland Utara.
Lawatan bersejarah itu menyaksikan Raja tiba di kediaman diraja, Istana Hillsborough, di mana baginda menyambut orang ramai. Di sana dia bertemu dengan Setiausaha Negara bagi Ireland Utara, Chris Heaton-Harris, dan para pemimpin parti politik terbesar Ireland Utara. – Agensi