
Trak polis yang tercampak sejauh kira-kira 40 meter susulan letupan bom tepi jalan di daerah Chanae, Narathiwat, Selatan Thailand semalam, yang mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan dan mencederakan empat yang lain.
Sekurang-kurangnya tiga anggota pasukan keselamatan Thailand dan seorang anggota pejuang Islam maut dalam dua kejadian berasingan di Narathiwat, Selatan Thailand, semalam, kata pegawai kerajaan ketika kumpulan pemisah pada awal September lalu berikrar untuk meningkatkan serangan.
Seorang anggota tentera dan seorang pejuang pemisah terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan di daerah Bacho, sementara dua anggota polis terbunuh dalam letupan bom yang dipasang di tepi jalan di daerah Chanae. Empat lagi anggota polis cedera parah.
Kejadian pertama berlaku tengah hari semalam apabila anggota tentera dan polis cuba menangkap seorang suspek kumpulan pemisah di Kampung Hutaelueyo di Bacho selepas menerima maklumat, kata Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Narin Busaman.
“Mereka tiba di tempat kejadian dan bertembung dengan lima hingga enam anggota kumpulan pemisah sebelum berlaku tembak menembak. Pegawai Wattachak Promniu meninggal dunia di hospital selepas terkena tembakan di dada dan bahagian paru-paru.
“Seorang anggota kumpulan pemisah turut terbunuh, manakala yang lain melarikan diri,” kata Narin kepada pemberita.
Beberapa jam kemudian di Chanae, daerah bersebelahan Bacho, bom buatan sendiri ditanam di tepi jalan meledak ketika lapan anggota polis menaiki dua pikap melalui kawasan itu kira-kira jam 2.12 petang.
“Letupan kuat itu menyebabkan pikap berkenaan melambung kira-kira 40 meter dari tempat kejadian menyebabkan dua anggota polis terbunuh dan empat yang lain parah,” kata Narin yang menyalahkan kumpuan pemisah.
Polis mengatakan bom itu dipasang menggunakan silinder gas memasak, diletakkan di dalam paip pembetung di tepi jalan dan diletup menggunakan wayar yang disambung ke dalam hutan di pinggir jalan.
Jurucakap Pusat Pemerintah Tentera Wilayah 4 (ISOC-4), Kolonel Kiatisak Neewong berkata kumpulan pemisah sentiasa mencari peluang untuk melakukan serangan.
“Lapan anggota pasukan kombat menaiki dua pikap ketika penyerang meledakkan bom, menyebabkan sebuah kenderaan dinaiki melambung, membunuh dua anggota polis dan mencederakan empat yang lain,” katanya.
Serangan semalam adalah yang paling buruk sejak 6 September, ketika satu mesej yang dikaitkan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah bersenjata terbesar di rantau ini yang dikenali sebagai ‘Thai Deep South’, disiarkan dalam satu akaun Facebook.
BRN mendesak para pejuang untuk memulai semula operasi mempertahankan diri kerana, pasukan keselamatan Thailand dikatakan membuat bertindak terhadap mereka, ketika rakyat berdepan kesusahan akibat pandemik Covid-19.
Penganalisis mengesahkan bahawa akaun Facebook itu ada kaitan dengan kumpulan pemisah.
Walaupun telah disahkan, Kiatisak mempersoalkan sama ada akaun Facebook itu mewakili kumpulan pemisah.
“Saya tidak pasti mengenai ketulenan akaun FB itu yang mengumumkan kesediaan untuk bertempur. Bagaimanapun, mereka selalu berusaha mencari peluang untuk melakukan kekerasan termasuk melemparkan bom paip,” katanya.
Pada April 2020, BRN mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak bagi membolehkan kakitangan kesihatan melawan penularan pandemik Covid-19. Sejak itu sekurang-kurangnya 14 anggota kumpulan pemisah terbunuh di sekitar ‘Thai Deep South’ bermula 22 Oktober, kata Kiatisak. – Agensi