Arab Saudi kekal tidak meluluskan vaksin Covid-19, Sinopharm atau Sinovac, kata jurucakap Kementerian Kesihatannya, Mohammed al-Abd al-Ali, ini sambil menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial mengatakan negara itu meluluskan vaksin itu.
Bagaimanapun, rakyat Arab Saudi atau penduduk yang tinggal di negara itu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin buatan China itu boleh mendapatkan suntikan penggalak mana-mana vaksin yang telah diluluskan.
Setakat ini Arab Saudi hanya meluluskan vaksin Moderna, Pfizer-BioNTech, Johnson & Johnson, dan AstraZeneca-Oxford.
Portal e-visa negara itu menyatakan Arab Saudi akan membenarkan kemasukan pengembara asing yang lengkap menerima suntikan Sinopharm atau Sinovac, sekiranya mereka mendapatkan suntikan penggalak yang diluluskan.
Menurut portal itu, e-visa membolehkan pelancong menghabiskan masa sehingga 90 hari di Arab Saudi, dan ia merangkumi aktiviti berkaitan pelancongan dan umrah. Bagaimanapun ia tidak termasuk untuk musim haji dan pendidikan.
“Tetamu yang telah menerima dua dos suntikan Sinopharm atau Sinovac akan diterima masuk jika mereka mendapatkan suntikan tambahan salah satu daripada empat vaksin yang diluluskan kerajaan Arab Saudi,” kata Kementerian Pelancongan dalam portal e-visa itu.
Portal itu juga menyenaraikan penduduk di 49 negara, termasuk Malaysia, yang dibenarkan masuk ke negara itu menggunakan e-visa. Bagaimanapun rakyat negara yang tidak tersenarai boleh menghubungi kedutaan Arab Saudi di negara masing-masing.
Mohammed al-Abd juga menafikan khabar angin mengatakan terdapat individu yang meninggal dunia setelah menerima vaksin Covid-19.
Beliau turut menggesa rakyat negara itu mendapatkan suntikan vaksin kerana kebanyakan kes baharu yang dilaporkan terdiri daripada individu yang tidak divaksin.
Sejak awal tahun lalu hingga hari ini, Arab Saudi melaporkan keseluruhan jangkitan sebanyak 532,785 kes, dan 8,320 kematian. Lebih 29 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada penduduk negara itu. – Agensi