Indonesia mula memberi suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 kepada kakitangan kesihatannya yang telah menerima dua dos Sinovac, dalam usaha negara itu untuk mematahkan rantaian jangkitan baharu dan kematian disebabkan varian Delta yang cepat merebak.
Seramai 50 profesor dan doktor dari Fakulti Perubatan Universiti Indonesia dan Hospital Dr Cipo Mangunkusumo di Jakarta menjadi kumpulan pertama yang diberi suntikan vaksin Moderna di hospital itu, semalam.
Mereka sebelum ini masing-masing telah menerima dua dos suntikan Sinovac.
Indonesia, yang telah mengatasi India sebagai titik panas baharu pandemik Covid-19 di Asia, menyaksikan peningkatan jangkitan di kalangan pekerja kesihatan – sesetengahnya menyebabkan kematian – walaupun mereka telah diimunisasi sepenuhnya dengan vaksin Sinovac. Ini memberi tekanan tambahan kepada pihak hospital dan sistem kesihatan negara itu.
Sekurang-kurangnya 1,245 kakitangan perubatan Indonesia dilapor meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 sehingga Selasa lalu, kata data diterbitkan LaporCovid-19.
Menteri Kesihatan Republik Indonesia Budi Gunadi Sadikin pada taklimat kepada media asing memberitahu bahawa pemberian dos ketiga itu telah disetujui oleh Kumpulan Penasihat Teknikal mengenai Imunisasi (ITAGI).
Memetik kes kakitangan kesihatan di Hospital Dr Cipto Mangunkusumo, beliau menyatakan bahawa doktor dan jururawat yang diinokulasi dengan vaksin Sinovac tidak mempunyai gejala ketika mereka dijangkiti Covid-19, dan ini mengurangkan keperluan untuk dimasukkan ke hospital.
Dalam kenyataan berasingan, Budi Gunadi berkata tempoh masa yang diambil untuk memberi suntikan ketiga kepada semua kakitangan perubatan adalah lebih pendek.
“Suntikan sebelum ini mengambil masa lapan minggu bagi 1.5 juta orang. Saya harap suntikan ini lebih cepat kerana ia membabitkan hanya satu suntikan,” katanya.
Republik Indonesia – negara keempat di dunia paling ramai penduduk – menerima 4.5 juta dos Moderna dari Amerika Syarikat di bawah kemudahan COVAX.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Siti Nadia Tarmizi berkata vaksin kepada kakitangan kesihatan itu akan diedarkan ke seluruh wilayah secepat mungkin.
Indonesia kini mengikut langkah beberapa negara lain, termasuk Turki dan Emiriah Arab Bersatu, yang telah memberi suntikan dos ketiga kepada penerima vaksin buat China.
Langkah itu susulan kebimbangan vaksin buatan China kurang berkesan dalam melawan virus Covid-19, terutama varian Delta.
Republik Indonesia yang melaporkan 54,517 kes baharu pada Jumaat, diletakkan sebagai negara pertama mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi di dunia berdasarkan laporan di dalam lama sesawang https://www.worldometers.info/coronavirus/.
Varian Delta yang pertama kali ditemukan di India kini sudah menular di 13 wilayahnya, termasuk lima di wilayah paling padat penduduk di Pulau Jawa. – Agensi