Selepas Peguam Negara baharu dilantik, pendakwa mohon hentikan prosiding kes Zahid

September 4, 2023 · Politik

Pihak pendakwaan telah mengemukakan 11 alasan untuk memohon supaya Mahkamah Tinggi memberhentikan prosiding kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi, yang membawa kepada keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh hari ini.

Permohonan yang bakal membebaskan Presiden UMNO daripada pertuduhan kes rasuah dibuat tidak sampai seminggu selepas kerajaan campuran mengumumkan pelantikan Peguam Negara (AG) yang baharu pada 1 September baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa Ahmad Zahid telah membangkitkan isu yang amat serius di dalam surat-surat representasinya, antaranya berkenaan dakwaan bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

“Peguam Negara berpendapat bahawa amat penting untuk pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat dan turut menyiasat dakwaan ini,” katanya.

Beliau berkata perkara ini sudah semestinya menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM tercemar, dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua institusi undang-undang ini telah diperalatkan pihak tertentu.

“Tertuduh (Ahmad Zahid) telah mengemukakan dua surat representasi kepada AGC, masing-masing pada Disember 2022 dan Januari 2023. Lanjutan daripada representasi itu, pihak SPRM pada Januari 2023, memaklumkan kepada AGC bahawa adalah penting untuk siasatan lanjut lebih terperinci, mendalam dan menyeluruh dibuat,” katanya.

Ahmad Zahid yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, sekali lagi menurutnya pada Februari dan Mac lepas mengemukakan empat lagi surat representasi yang membangkitkan isu-isu dan bukti-bukti baharu yang sudah semestinya memerlukan SPRM menyiasat perkara-perkara ini.

“Selain itu, surat representasi tertuduh turut menyentuh isu berkenaan siasatan terhadap tertuduh sebelum, semasa dan selepas beliau dituduh di mahkamah yang dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pra-matang dan tidak lengkap,” katanya.

Mohd Dusuki berkata setakat ini 15 saksi pembelaan dipanggil termasuk Ahmad Zahid sendiri, dan beliau berpendapat bahawa keterangan-keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti pihak pendakwaan dan juga SPRM.

Tambah Mohd Dusuki, untuk tidak menafikan hak Ahmad Zahid dan tidak berlaku “miscarriage of justice”, beliau percaya pertuduhan terhadap tertuduh perlu diberhentikan buat masa ini, tetapi hanya memberikan kesan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada Ahmad Zahid, sehingga siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

“Kami juga percaya mahkamah yang mulia ini ambil maklum berkenaan pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu dibangkitkan dalam buku memoir tulisan bekas peguam negara, Tan Sri Tommy Thomas dan pendedahan dibuat beliau berkaitan pertuduhan yang dibuat terhadap individu-individu tertentu.

“Malah, ia juga sebenarnya adalah selaras dengan tujuan RCI tersebut yang antara lainnya, bertujuan menyiasat dakwaan-dakwaan berkenaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam negara ini,” katanya.

Pendakwaan juga berkata, baru-baru ini juga satu memo dalaman yang dikatakan dikeluarkan AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan itu telah tular di media sosial.

“AGC sedang mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman tersebut. AGC berpendapat ini adalah penting kerana ia turut menyentuh secara langsung, isu-isu yang dibangkitkan tertuduh melalui representasi-representasi yang dikemukakan beliau, dan menguatkan lagi alasan-alasan AGC untuk siasatan secara menyeluruh dijalankan bagi kes melibatkan tertuduh,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024· Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024· Isu semasa
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024· Politik
Popular
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024
Jangan tuding jari saja, sendiri tak berani buat, Peja beritahu Anwar
May 9, 2023
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024
Kes saman fitnah Zahid terhadap Muhyiddin selesai secara baik
April 26, 2024
Lagi Politik terkini
Bawa kad pengenalan, SPR ingatkan pengundi di PRK KKB
May 10, 2024 · Politik
Saingan empat penjuru PRK Kuala Kubu Bharu, tiada wakil MCA berarak
April 27, 2024 · Politik
PRK KKB: PN letak calon tempatan lawan calon DAP dari Ampang
April 26, 2024 · Politik
Pegawai Kor Ming diletak calon DAP pada PRK Kuala Kubu Bharu
April 24, 2024 · Politik
Tengku Zafrul hanya hadir sekali ke mesyuarat UMNO Selangor, kata Megat
April 22, 2024 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok