Sekutu rapat rejim Israel, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menyekat mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) secara maya bagi membincangkan konflik yang semakin meningkat di Semenanjung Gaza dan Israel.
Diplomat Barat memberitahu agensi berita Anadolu, mesyuarat itu dijadual pada Jumaat setelah mendapat permintaan daripada China, Tunisia dan Norway, tetapi AS mengatakan ‘pertemuan hari ini tidak akan menyokong usaha meredakan ketegangan.
Bagaimanapun, AS mencadangkan debat terbuka diadakan Selasa ini, kata diplomat yang enggan disiarkan namanya.
Semalam, AS menyekat kenyataan yang bakal dibuat oleh UNSC berhibung keganasan berterusan rejim Israel ke atas penduduk Palestin, terutama di Semenanjung Gaza.
Kenyataan yang disekat itu dibuat menyusuli taklimat utusan khas PBB mengenai perdamaian Palestin dan Israel, yang melahirkan kebimbangan situasi di Semenanjung Gaza.
Kenyataan itu menyatakan keprihatinan mendalam berhubung situasi terbaru di Gaza, Baitulmaqdis Timur serta kawasan sekitarnya dan meminta permusuhan dihentikan segera.
“Anggota Majlis Keselamatan PBB mendesak pemberhentian segera semua tindakan keganasan, provokasi, hasutan dan kehancuran. Mereka menggesa supaya undang-undang antarabangsa dipatuhi, termasuk hak asasi manusia dan perlindungan awam,” kata kenyataan itu.
Sehingga berita ini ditulis, jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Zionis Israel meningkat kepada 103 orang, termasuk 27 kanak-kanak, dan 11 wanita, manakala 580 lagi cedera.
Tujuh warga Israel, termasuk dia anggota tenteranya terbunuh dalam serangan roket kumpulan pejuang Palestin.
Ketegangan memuncak bermula di penempatan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur sejak sebulan lalu apabila pendatang haram Yahudi dibantu askar rejim Israel cuba merampas tanah dan rumah penduduk Palestin.
Ribuan rakyat Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Baitulmaqdis, Semenanjung Gaza dan di Masjid Al-Aqsa diserang oleh pendatang Yahudi dan askar Israel. – Agensi