Ketika negara seluruh dunia masih bergelut berdepan penularan Covid-19, rakyat negara China pula sakan bercuti apabila Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan republik itu melaporkan kejayaan menarik 230 juta pengunjung sempena cuti Hari Pekerja bermula 1 hingga 5 Mei.
Jumlah itu menyaksikan lonjakan sebanyak 119.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus memperlihatkan pemulihan mencapai 103.2 peratus sebelum penularan Covid-19, lapor Bernama.
Menurut kementerian itu lagi, pendapatan pelancongan direkodkan sebanyak RMB113.23 bilion (kira-kira RM72 bilion), meningkat 138.1 peratus berbanding tahun lalu, iaitu mencapai pemulihan hingga 77 peratus.
Sepanjang tempoh cuti itu juga, tiada insiden keselamatan atau penularan wabak menerusi saluran kebudayaan dan pelancongan dilaporkan.
Kejayaan itu hasil daripada pelaksanaan peraturan ketat iaitu mengehadkan jumlah pelancong dan mengamalkan tempahan awal, membolehkan tempat peranginan peringkat 5A di seluruh negara mencatatkan penerimaan pelancong seramai 48 juta orang.
Daripada jumlah itu, 32 peratus daripadanya membuat tempahan secara dalam talian, dan 33 peratus lagi memasuki destinasi pelancongan dengan mengimbas kod atau pengecaman wajah.
Pendekatan tempahan awal disambut baik pelancong apabila ia menerima pengiktirafan dengan kadar 98 peratus.
Dalam perkembangan lain, jumlah pelancong bagi setiap rombongan dicatatkan sebanyak 14.67 orang secara purata, iaitu memperlihatkan penyusutan 25 peratus berbanding tahun 2019, dan peralihan dari kumpulan besar kepada lebih kecil.