Presiden Emmanuel Macron pada Isnin melantik Elisabeth Borne sebagai Perdana Menteri baharu Perancis, lapor Xinhua.
Borne, 61, merupakan bekas Menteri Pengangkutan, Ekologi dan Buruh, lapor Bernama.
Beliau adalah wanita kedua menyandang jawatan itu selepas Edith Cresson (1991-1992) di bawah Presiden Francois Mitterrand.
Borne menggantikan Jean Castex, yang mengetuai barisan kabinet Perancis pada Julai 2020 tetapi meletak jawatan lebih awal pada Isnin.
Pertukaran kerajaan telah dijangka sejak 24 April, apabila Macron memenangi pilihan raya presiden menentang pemimpin sayap kanan Marine Le Pen.
Penggal lima tahun kedua Macron secara rasmi bermula pada Sabtu.
Borne menyokong Macron dalam pilihan raya presiden 2017 dan kemudian menyertai parti La Republique en Marche.