Tindakan provokasi Korea Utara kerana melancarkan ujian peluru berpandu balistik menerima kecaman keras Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tindakan Pyongyang itu disifatkan PBB sebagai membimbangkan dan mendesak kepemimpinan republik itu mematuhi kewajipan antarabangsa.
“Kita sangat bimbang dengan perkembangan terbaru ini dan menyeru supaya kepemimpinan Korea Utara untuk kembali mematuhi peraturan di bawah resolusi Majlis Keselamatan dan meneruskan rundingan dengan pihak lain.
“Kita yakin dan percaya rundingan diplomatik sebagai satu-satunya cara untuk mencapai keamanan berpanjangan dan pengawalan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea,” katanya di New York semalam.
Pyongyang disifatkan mempamerkan aset pertahanannya dengan pelancaran itu ketika rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat masih buntu.
Ia adalah pelancaran kedua dalam tempoh seminggu.
Rabu lalu, Korea Utara berjaya menguji peluru berpandu hipersonik, dalam ujian pertama seumpama oleh negara bersenjata nuklear itu tahun ini, menurut media kerajaan.
Ujian peluru berpandu itu dikatakan tepat mengenai sasaran sejauh 700 kilometer, kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Difahamkan, ia adalah ujian kedua Korea Utara mengenai peluru berpandu hipersonik, senjata canggih sekali gus menandakan kemajuan teknologi terkini dalam pembuatan senjata nuklear di negara itu.
Peluru berpandu hipersonik bergerak jauh lebih pantas dan lebih tangkas daripada peluru berpandu normal, menjadikannya lebih sukar untuk sistem pertahanan peluru berpandu memintasnya.