Kerajaan Britain sedang menghadapi tekanan dan berdepan keadaan terdesak dalam mencegah penularan varian baharu Omicron yang semakin berleluasa.
Keadaan itu menjadi bertambah buruk apabila sekumpulan pakar kesihatan di United Kingdom (UK) meramalkan angka korban akibat Covid-19 di negara itu boleh mencapai sehingga 75,000 dalam tempoh lima bulan.
Sehubungan itu, semua menteri di negara itu bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan keadaan itu tidak terjadi.
Sekolah Kesihatan dan Perubatan Tropika London turut meramalkan, sekiranya pihak kerajaan melakukan ‘pelan B’ dengan mengarahkan semua pekerja berkerja di rumah dan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat seperti di pengangkutan awam, angka korban dan jangkitan baharu akibat Covid-19 mungkin dapat dikurangkan ke 25,000 kes.
Penutupan sejumlah tempat hiburan dan mengenakan sekatan perhimpunan pada awal tahun depan juga dapat mengurangkan kadar kemasukan pesakit ke hospital dan kematian.
Namun begitu, barisan kepemimpinan utama cuba menafikan keadaan tersebut dengan menyatakan tiada bukti kukuh menunjukkan varian baharu itu mampu membuatkan lonjakan kes kematian dan kemasukan ke hospital.
Ahli Parlimen dari Parti Konservatif, Peter Bone memaklumkan pihak kerajaan wajib berpegang pada beberapa perspektif dan tidak ‘menutup semua jalan’ untuk setiap keadaan yang ‘mungkin tidak akan berlaku’.
“Kita perlu lakukan pendekatan yang lebih seimbang dan biarkan negara membuat keputusan sendiri kerana setiap keputusan boleh memberi impak terhadap pelbagai perkara, termasuk kesihatan mental rakyat dan sektor perniagaan,” jelasnya.
Sehingga kini, jumlah rakyat Britain yang masih tidak divaksin dianggarkan sebanyak lima juta dan keadaan itu bakal menjadi penyumbang utama kepada lonjakan kes jangkitan serta kematian.