New Zealand kekal menutup sempadannya kepada kebanyakan pelancong antarabangsa selama lima bulan lagi, kata kerajaan pada Rabu, sambil menegaskan pembukaan sempadan negara itu akan dibuat secara berhati-hati
Seiring dengan pengasingan geografinya, negara Pasifik Selatan itu menguatkuasakan beberapa sekatan pandemik yang paling ketat dalam kalangan 38 negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), mengekang penularan Covid-19, dan membantu ekonominya pulih lebih cepat daripada kebanyakan negara setaraf lain.
Bagaimanapun, penularan varian Delta yang sangat cepat merebak pada awal tahun ini memaksa peralihan dalam strategi, dengan bandar utama Auckland kini hanya dibuka secara beransur-ansur apabila kadar vaksinasi meningkat.
Pengembara antarabangsa yang lengkap divaksinasi hanya akan dibenarkan memasuki negara itu mulai 30 April 2022, dan seterusnya pembukaan semula berperingkat dari semasa ke semasa, Menteri Tindak Balas Covid-19 New Zealand, Chris Hipkins.
Manakala, rakyat New Zealand yang kini berada di Australia akan dibenarkan pulang mulai pertengahan Januari, manakala bagi mereka melakukan perjalanan dari negara lain akan dibenarkan kembali sebulan kemudian.
“Kami tahu keadaan ini sukar, namun penghujung perlaksanaan sekatan perjalanan kini dapat dilihat,” jelas Hipkins.
Sejak Mac tahun lalu, New Zealand menutup sempadan negaranya dan mewajibkan semua ketibaan antarabangsa menjalani kuarantin di hotel yang disediakan selama dua minggu, tetapi kemudiannya dikurangkan kepada tujuh hari.
Hipkins menjelaskan di bawah peraturan baharu ini, pelancong asing diwajibkan mengasingkan diri selama tujuh hari dengan syarat lengkap divaksin dan lulus beberapa ujian saringan Covid-19.
Hipkins mengakui ramai warganegara New Zealand ingin sempadan dibuka sempena perayaan Krismas ini tetapi, ianya bukan keputusan yang realistik.
“Pandemik global masih berterusan dengan angka kes terus meningkat di Eropah dan di negara lain di dunia. Jadi, kita perlu berhati-hati untuk membuka kembali sempadan kerana itulah yang kami laksanakan dan yang selalu akan kami lakukan,” katanya. – Agensi